Sebelum jalani ujian pap smear untuk kesan kanser serviks, berikut 5 perkara yang tak boleh wanita lakukan

Health & Fitness
24 Aug 2022 • 10:54 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

KANSER serviks merupakan penyakit barah yang lazimnya menyerang wanita selain daripada kanser payudara.

Bahkan, menurut Institut Kanser Negara (2017), penyakit berkenaan antara tiga kanser tertinggi yang berlaku dalam golongan itu.

Namun, tahukah anda, kanser berkenaan sebenarnya boleh dikesan dengan lebih awal jika kita menjalani ujian pap smear?

image is not available

Laman perubatan MyHealth menjelaskan, keberkesanan ujian tersebut adalah dapat mengesan lebih awal sebelum kanser itu terjadi. Rawatan segera mungkin dapat menyelamatkan keadaan menjadi lebih parah.

Pun begitu, SinarPlus tidak menafikan bahawa pemeriksaan kesihatan berkenaan antara yang digeruni oleh para wanita kerana prosedur tersebut memerlukan doktor memasukkan berus serviks dan spekulum ke dalam faraj.

Bagaimanapun, demi kesihatan dan keselamatan diri, kita sebagai wanita perlu ketepikan perasaan takut.

image is not available

Pendekatan itu sebenarnya hanya mendatangkan rasa tidak selesa buat sementara waktu sahaja.

SinarPlus kemudiannya merujuk satu perkongsian Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Fertiliti, Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, Dr Maiza Tusimin mengenai ujian berkenaan.

Terlebih dahulu kata Dr Maiza, ujian pap smear hanya mengambil masa selama dua minit dan ia dilakukan secara privasi.

Dr Maiza turut memberikan panduan kepada para wanita yang ingin melakukan ujian tersebut.

image is not available

Ini yang perlu kita elakkan sehari sebelum menjalani pemeriksaan. Berikut inti patinya:

i) Hindari berhubungan intim bersama pasangan.
ii) Tidak menggunakan ubat pesari (ubat berbentuk pepejal yang dimasukkan ke dalam faraj untuk merawat jangkitan).
iii) Tidak melakukan pembersihan faraj dengan air atau campuran cecair lain.
iv) Tidak memakai produk pencuci wanita.
v) Tidak memakai tampon.

Bagi mereka yang ingin menjalani pemeriksaan itu, pastikan patuh akan arahan yang diberikan seperti yang disarankan Dr Maiza supaya hasil ujian tidak terganggu.

Justeru, apa kata bermula hari ini kita hilangkan ketakutan untuk melakukan ujian pap smear demi kemaslahatan diri.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan