Sebut perkataan menghasut: Muhyiddin kekal pengakuan tidak bersalah

LocalPolitics
4 Feb 2025 • 12:39 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan, pada Ogos tahun lepas.

Muhyiddin, 77, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Untuk rekod, kes itu pada asalnya disebut di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan pada 27 Ogos 2024 sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur susulan permohonan pihak pembelaan.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), didakwa melakukan perbuatan tersebut di kawasan lapang berhampiran Dewan Semai Bakti Felda Perasu antara 10.30 malam hingga 11.50 malam, 14 Ogos 2024.

Kenyataan menghasut itu berkenaan dakwaan beliau yang tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi manakala peguam Amer Hamzah Arshad mewakili Muhyiddin.

Terdahulu, Amer Hamzah memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya akan membuat permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, berhubung kes hasutan anak guamnya.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 6 Mac untuk serahan dokumen dan mengekalkan jaminan RM5,000 yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Gua Musang sebelum ini. - 4 Februari, 2025

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved