Sedang kumpul lagu, impi mahu buat showcase – Mila Jirin

EntertainmentMusic
19 Sep 2026 • 11:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sedang kumpul lagu, impi mahu buat showcase – Mila Jirin

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Mila Jirin, mendedahkan dia kini giat mengumpul lagu baharu untuk merealisasikan impiannya bagi mengadakan showcase sendiri selepas beberapa tahun menyepi dalam karier nyanyian.

Mila atau Norsyarmilla Jirin, 39, berkata, dia perlu menghasilkan lagu kerana dia menganggap lagu yang sedia ada tidak mencukupi untuk mengadakan sesebuah showcase.

“Sebenarnya, saya tengah kumpul lagu. Sebab saya dah berehat beberapa tahun, jadi saya dah kehilangan momentum itu.

“Sebab itu, setiap dua bulan atau tiga bulan, saya akan keluarkan lagu baharu. Saya berimpikan nak buat showcase, tetapi sekarang lagu tak cukup.

“Showcase kecil-kecil pun perlukan lagu. Takkan kita nak ulang lagu yang sama. Jadi, moga dapatlah kita jalankan, InsyaAllah,” katanya.

Dalam pada itu, Mila bersyukur apabila lagu terbaharunya, Cukup Sudah Cukup, menerima sambutan luar biasa apabila meraih 70,000 tontonan di YouTube dalam tempoh tiga hari.

“Bagi saya yang kembali ke industri setelah begitu lama, untuk mendapatkan 70 ribu penonton di YouTube selama tiga hari, saya sangat bersyukur. Saya dapat bersaing dengan penyanyi baharu dan penyanyi yang sedang berjalan.

“MasyaAllah, Mila dapat lihat dekat media sosial pun dah mula ada peminat-peminat daripada negara seberang. Komen dekat YouTube juga, jadi ini satu perkembangan yang baik untuk saya,” katanya.

Mengenai perancangan promosi, Mila sepatutnya berkunjung ke Indonesia pada Oktober ini tetapi mengambil keputusan untuk menangguhkan perjalanan itu berikutan keadaan semasa yang tidak mengizinkan.

“Mila sepatutnya ke sana pada bulan Oktober, tetapi disebabkan keadaan sekarang ini, bukan jerebu sahaja tetapi letupan-letupan gunung berapi dan sebagainya. Jadi, Mila tak berani nak ambil risiko untuk terbang ke sana.

“Sekarang kita biarkan lagu itu dikenali dahulu. Saya berdoa agar lagu itu dapat dikenali di sana dan mana tahu selepas ini lagu-lagu seterusnya pun boleh ikut jejak lagu pertama yang masuk ke sana,” katanya. -UTUSAN

The post Sedang kumpul lagu, impi mahu buat showcase – Mila Jirin appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved