
KEMAMAN - “Tak dapat bayangkan bagaimana mereka tersadai di atas bumbung, bergegas selamatkan apa yang mampu dan duduk di pusat perlindungan sementara berhari-hari,”.
Itu luahan Intan Qraisya Abu Thalib, 19, penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terbabit dalam misi kemanusiaan membantu mangsa banjir di sini baru-baru ini.

Intan yang menuntut di tahun satu berkata, ini adalah kali kedua dia bersama beberapa rakan lain menyertai misi bantuan pasca banjir yang dianjurkan Triton Tuner Club Malaysia (TTCM).
Kata gadis manis itu, dia terpanggil untuk menyertai misi bantuan mangsa banjir apabila melihat kerosakan teruk dialami semua mangsa melalui media sosial.
“Saya amat terkesan apabila melihat video yang bertebaran di laman sosial. Nasib mereka tidak sebaik kami di sini, tak dapat bayangkan bagaimana perasaannya apabila air naik dengan cepat dan deras, hingga ada yang memusnahkan hampir keseluruhan rumah mereka.
“Oleh itu, saya meminta keizinan dari keluarga untuk membantu apa yang terdaya dan saya berharap bantuan yang kami berikan sedikit sebanyak dapat menggembirakan hati mereka,” katanya kepada Getaran.

Intan memberitahu, dia hampir menangis sejurus tiba di Kampung Jeneris, di sini apabila melihat kemusnahan yang berlaku akibat banjir teruk itu.
Dalam pada itu, seorang lagi penuntut UPNM, Mohamad Firdaus Mohamad Amin, 20, berkata, pengalaman mencuci Medan Selera Kuala Jeneris tidak akan dapat dilupakan.
Katanya, pada misi kali ini, dia amat teruja kerana dapat bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), termasuk menggunakan jentera bomba bagi tujuan pembersihan.
“Tak sangka pula saya berpeluang menggunakan peralatan bomba untuk mencuci medan selera ya g terjejas teruk akibat banjir.
“Teruja dan seronok tapi saya tetap bersimpati dengan peniaga-peniaga yang terjejas. Keadaan medan selera ini seperti medan lumpur ketika saya sampai,” katanya.

Menurut penuntut jurusan Pengajian Strategi ini, menjadi sukarelawan merupakan satu tanggungjawab yang besar dan dia berazam untuk terus membantu mereka yang memerlukan.
Selain Intan dan Firdaus, misi anjuran TTCM itu turut disertai 28 penuntut UPNM.

Misi terbabit membawa bersama 250 pek makanan dan barangan keperluan harian untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang terkesan. - Getaran, 22 Januari 2025
