Sedih kenangkan insiden kereta rosak, 11A hadiah Luqman buat ayah dan ibu

LocalFamily & Parenting
31 Mar 2026 • 4:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhammad Luqman menerima kucupan daripada ayah dan ibunya selepas selepas majlis pengumuman keputusan SPM Tahun 2025 di Dewan Mahkota MTNP pada Selasa.
image is not available
Nur Fatin Syuhada (tengah) bergambar bersama ayah dan ibunya selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2025.

KUANTAN – Keputusan 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bukan sekadar angka, tetapi menjadi hadiah paling bermakna buat Muhammad Luqman Mohammad Aqsa, 18, sebagai membalas jasa dan pengorbanan kedua-dua ibu bapanya.

Pelajar lepasan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) itu berkata, kejayaan berkenaan menjadi titik tolak untuknya mengubah nasib keluarga ke arah yang lebih baik, selain menyifatkan kesempitan hidup sebagai pembakar semangat utama.

“Saya paling tersentuh apabila mengenangkan satu peristiwa ketika kereta ayah rosak sehingga saya terpaksa membonceng motosikal bersamanya. Saya berasa sangat kasihan melihat keadaan ayah yang mengeluh memikirkan kos pembaikan yang tinggi.

“Detik itulah yang membuatkan saya nekad menghadiahkan keputusan 11A ini kepada mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman keputusan SPM Tahun 2025 di Dewan Mahkota MTNP di sini pada Selasa.

Anak jati Bentong itu memberitahu, bapanya, Mohammad Aqsa Abd Wahab, hanya bekerja sebagai pembantu kantin manakala ibunya, Norkamiza Baharuddin, merupakan suri rumah sepenuh masa.

Sebagai anak kedua daripada tiga beradik, dia mengakui sudah terbiasa berdepan cabaran hidup terutama yang melibatkan kekangan kewangan.

“Saya berasal daripada keluarga yang bukan senang, jadi kesulitan sebegitu bukan perkara asing buat kami. Bagaimanapun, saya sentiasa mengingatkan diri bahawa jika saya berasa susah, sebenarnya masih ada orang lain yang lebih susah daripada saya,” luahnya.

Mengulas mengenai rahsia kejayaan, Muhammad Luqman berkata, dia lebih gemar belajar dalam kumpulan kecil atau duduk bersendirian di penjuru kelas bagi memastikan tumpuan tidak terganggu.

Sementara itu, rakan sekolahnya, Nur Fatin Syuhada Ahmad Najmi, 18, turut mencatat keputusan membanggakan dengan memperoleh 10A bagi semua subjek yang diambil.

**media[3477417]**

Pelajar aliran akaun itu mengakui terkejut dengan pencapaian berkenaan kerana pada awalnya hanya menyasarkan sekitar enam A sahaja.

“Disiplin menjaga kesihatan dan pengurusan masa menjadi kunci kejayaan, termasuk mengamalkan rutin bangun seawal jam 3 pagi untuk bersenam atau berjoging terlebih dahulu bagi kecergasan sebelum mengulang kaji pelajaran.

“Saya juga akan mencari tempat yang lebih terpencil bagi mengelakkan daripada mengganggu rakan lain yang sedang tidur,” katanya, yang juga merupakan hafizah 30 juzuk al-Quran.

Meskipun pada asalnya lebih cenderung dalam bidang kesenian dan animasi, Nur Fatin Syuhada kini memasang impian untuk meneroka bidang profesional yang lebih mencabar di luar negara.

“Dengan keputusan ini, saya mahu cuba memohon biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka, mungkin ke United Kingdom (UK),” ujarnya.

View Original Article