Sedihlah, kawan-kawan sepatutnya menyokong – Atilia Haron

Entertainment
12 Aug 2026 • 10:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sedihlah, kawan-kawan sepatutnya menyokong – Atilia Haron

PETALING JAYA: Penyanyi, Atilia Haron tidak dapat menyembunyikan rasa sedih apabila segelintir rakannya meminta tiket percuma untuk menghadiri konsertnya yang bakal berlangsung pada 19 September ini.

Menurut Atilia atau Raja Putri Atilia Raja Haron, 52, perkara itu berlaku selepas dia sendiri menghubungi kenalan lama menerusi WhatsApp bagi meuar-uarkan mengenai konsert berkenaan, selain menghantar poster dan pautan berkaitan.

“Sekarang saya memang sibuk menjemput kawan-kawan datang ke konsert. Jadi, saya WhatsApp, hantar poster dan mesej secara ‘broadcast’. Selepas hantar mesej itu, ramai pula yang balas dan bertanya ada tiket percuma atau tidak.

“Jadi, rasa sedihlah sebab bagi saya, kawan-kawan sepatutnya menyokong. Kalau dulu, memang ramai yang selalu beri tiket percuma. Tetapi sekarang, saya rasa sudah sampai masanya untuk kita saling menyokong sesama artis.

“Contohnya, Mimi Fly datang ke konsert Atilia bersama mama, Salamiah Hassan Gelombang Bahagiaku tahun lalu dan dia beli tiket walaupun kami berkawan baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambah Atilia, hasil jualan tiket sangat penting apatah lagi dirinya berdepan dengan kekangan untuk mendapatkan tajaan, selain perlu menanggung pelbagai kos termasuk membawa kumpulan Sore dari Indonesia untuk menjayakan persembahan berkenaan.

“Konsert yang saya buat ini tidak mempunyai penaja daripada mana-mana syarikat besar dan bukan dianjurkan oleh pihak lain. Saya buat sendiri. Jadi, hasil jualan tiket itulah bayaran kami.

“Lagipun, saya bawakan kumpulan, Sore dari Indonesia. Kena bayar PUSPAL, tiket penerbangan dan hotel. Setiap sen itu dikira. Sebab itu kali ini memang tidak boleh bagi tiket percuma.

“Mama saya sendiri pun beli tiket kerana mahu tunjukkan sokongan kepada saya walaupun saya mahu beri kepadanya secara percuma,” jelasnya.

Dalam pada itu, Atilia menyifatkan tindakan rakan meminta tiket percuma sememangnya tidak wajar, namun memahami kemungkinan mereka sekadar mahu mencuba nasib.

“Tidak wajar langsung. Tetapi mungkin sebab mereka kawan-kawan saya dan saya tahu bagaimana cara mereka berfikir. Mungkin mereka sekadar cuba nasib.

“Jika mereka terfikir untuk berunding dengan mengumpul kenalan yang lain untuk membeli tiket, saya masih boleh bertolak ansur. Selepas saya tulis di Threads, kawan yang sama dan sebelum itu minta tiket percuma terus minta laman sesawang untuk membeli tiket. Nampaknya cara itu berkesanlah,” katanya.

Atilia berharap luahannya itu dapat membuka mata orang ramai mengenai kepentingan menyokong penggiat seni, khususnya apabila mereka mengusahakan konsert menggunakan kemampuan sendiri.

“Sekurang-kurangnya saya sudah menyuarakannya. Jadi, lain kali kalau ada kawan-kawan lain yang buat konsert, mungkin kawan-kawan mereka tak akan minta tiket percuma juga. Kita kena saling membantu sebab setiap sen itu sangat bermakna,” ujarnya.

Terdahulu, Atilia menerusi hantaran di Threads meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir kenalannya yang meminta tiket percuma untuk menghadiri Atilia Haron in Concert yang bakal berlangsung di Robert’s Theatre The Campus Ampang, bulan depan.

Konsert tersebut juga bakal diserikan dengan artis jemputannya iaitu kumpulan, Soré Ze Band yang berasal dari Indonesia.

The post Sedihlah, kawan-kawan sepatutnya menyokong – Atilia Haron appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved