Segamat Dilanda Gempa Bumi Lagi, Sudah Masuk Kali Ke-4

LocalEnvironment
28 Aug 2025 • 10:41 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu


Pada Ahad lalu (24 Ogos), negara dikejutkan dengan dua kejadian gempa bumi lemah yang berlaku di beberapa kawasan di Johor.

Gegaran pertama dipercayai berlaku sekitar jam 6.13 pagi dengan magnitud 4.1 di Segamat, manakala bencana kedua pula di Yong Peng dengan 2.8 pada pukul 9 pagi.

Malah, ia dilihat masih tidak berakhir apabila berlaku lagi gempa lemah di Segamat berukuran 3.2 magnitud pada 8.59 pagi semalam (27 Ogos).

Gempa bumi kali keempat landa Segamat

Terbaharu, gempa bumi lemah sekali lagi melanda Segamat buat kali keempat pada 7.56 malam tadi (28 Ogos) dengan ukuran 2.5 magnitud.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi satu kenyataan di laman X memaklumkan gempa bumi itu berlaku kira-kira 13 kilometer utara Segamat, berpusat pada koordinat 2.6 darjah utara dan 102.8 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer.

MetMalaysia turut menyatakan pihaknya akan terus memantau keadaan dan perkembangan gempa bumi terbabit.

Sultan Pahang titah masjid dan surau di Pahang buat solat hajat tolak bala

Sebelum ini, gegaran kali ketiga yang melanda daerah itu dilaporkan turut dirasai di beberapa kawasan di negeri berkenaan serta selatan Pahang.

Susulan itu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua masjid dan surau di negeri itu melaksanakan solat hajat serta doa menolak bala pada malam ini (28 Ogos).

Baginda turut meminta rakyat bersama-sama berdoa agar Allah SWT melindungi negeri Pahang daripada segala bencana serta mengekalkan kesejahteraan, keamanaan dan kemakmuran untuk seluruh rakyat.