
ALOR SETAR: Golongan pesawah yang terkesan dan alami kerugian akibat kelewatan bekalan baja baru-baru ini menuntut kerajaan menyegerakan bayaran pampasan kepada mereka selain menggesa mekanisme agihan bantuan dilaksanakan secara telus dan berdasarkan kerugian sebenar.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman kerajaan untuk meneliti bantuan bersasar kepada golongan yang terjejas namun langkah itu memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan pesawah terus menanggung beban kewangan.
Katanya, kementerian terlibat boleh menggunakan data pesawah daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan rekod pengagihan baja bagi mengenal pasti pesawah yang terjejas tanpa membebankan mereka dengan proses tuntutan yang panjang.
“Penilaian kerugian juga perlu mengambil kira keluasan sawah, jumlah baja yang sepatutnya diterima, tarikh penerimaan baja serta perbandingan hasil musim berkenaan dengan musim sebelumnya bagi memastikan bantuan diberikan berdasarkan keadaan sebenar.
“Paling penting bantuan jangan sama rata kerana kerugian yang setiap petani tanggung berdasarkan keluasan tanaman masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau menegaskan, bantuan perlu diagihkan dengan segera memandangkan petani terlibat kini mempunyai masalah untuk memulakan tanaman ekoran hasil padi yang merosot akibat kelewatan bekalan baja itu.
“Isu ini bukan sekadar baja lewat tetapi paling penting petani yang menanggung kerugian. Kerajaan pun sudah mengakui kelewatan baja ini jadi persoalan sekarang mengukur kerugian ini.
“Terdapat pesawah yang dilaporkan hanya memperoleh sekitar 800 kilogram hingga satu tan metrik padi bagi setiap relung iaitu penurunan mendadak dan sekarang dengan kos yang tinggi hasil menjunam,” katanya.
Pengerusi Peladang Muda PPK MADA, Aswadil Khairi Che Omar pula berkata, kerajaan perlu memperbaiki sistem pengurusan tender, pengagihan dan pemantauan bekalan baja bagi memastikan kelewatan yang menjejaskan pesawah tidak berulang pada musim penanaman akan datang.
“Apabila baja sampai lewat, masa penanaman terganggu, pertumbuhan tanaman terjejas dan hasil tuaian menurun. Kerugian ditanggung pesawah kerana mereka bergantung pada hasil tanaman sebagai sumber pendapatan,” ujarnya. – UTUSAN
The post Segera agih pampasan pesawah terkesan baja lewat appeared first on Utusan Malaysia.





