Segera bahas usul laporan PAC di Dewan Negara

Politics
10 Aug 2022 • 2:44 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dari kiri: Hui Ying, Fadhlina dan Kesavadas ketika sidang media di Parlimen pada Selasa.

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa agar usul berkaitan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dapat dibahaskan dengan segera di Dewan Negara. Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, ia berikutan laporan itu melibatkan kepentingan awam dan keselamatan negara. “Sebentar tadi, saya, Lim Hui Ying (Setiausaha DAP Pulau Pinang) dan Datuk A Kesavadas Nair (Pengerusi DAP Negeri Sembilan) telah mengadakan sidang media. “Ia berkaitan permohonan kami (pemberitahuan usul mengikut peraturan mesyuarat (17)(1) kepada Yang Dipertua Dewan Negara (Tan Sri Dr Rais Yatim) untuk membahaskan usul berkaitan laporan PAC tentang perolehan kapal tempur pesisir (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang hangat diperkatakan. “Kami menggesa usul ini dapat dibahaskan dengan segera di Dewan Negara kerana ia melibatkan kepentingan awam dan keselamatan negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya pada Selasa. Khamis lalu, PAC dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar sekitar RM6 bilion untuk projek kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima, setakat ini. Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.