Segera laksana MA63: Warisan

LocalPolitics
21 Sep 2022 • 1:45 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili perlu memperjuangkan 40 peratus hasil pungutan cukai sepatutnya dikembalikan kepada kerajaan Sabah sejak tahun 1963.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan, Azhar Matussin (gambar) berkata, pengumuman berkaitan sejumlah 15 isu di bawah pemantauan Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih belum diselesaikan adalah tidak releven didengar pada masa kini.

Katanya, Maximus sepatutnya melaksanakan segera MA63 seperti yang termaktub dalam perjanjian tersebut.

“Dalam MA63 sendiri sudah terang serta menjelaskan secara terperinci mengenai hak-hak serta tanggungjawab masing-masing antara kerajaan persekutuan dengan Wilayah Sabah dan Sarawak.

“Apa yang susah sangat untuk dilaksanakan? Maximus kena buka balik MA63 dan laksanakan. Tidak perlu pilih mana perlu dilaksanakan dan mana tidak perlu laksanakan.

“Sudah cukup jelas MA63 telah dipersetujui sejak awal dan perkara ini pun ditandatangani,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Darau berkata, setakat ini tiada keperluan untuk dirunding lagi MA63 kerana ia adalah satu perjanjian antarabangsa membabitkan United Kingdom of Britain, Northern Ireland, North Borneo, Malaya, Sarawak dan Singapura.

“MA63 itu tidak boleh diubah sama ada ditambah atau dikurangkan walaupun satu huruf. Sudah 59 tahun perjanjian ditandatangani. Ia perlu dilaksanakan segera secara total,” katanya.

Azhar menambah, sebarang percubaan atau cadangan untuk mengubah MA63 perlu melibatkan semua negara-negara penandatangan asal MA63.

“Parlimen sendiri pun tiada kuasa untuk membuat sebarang perubahan kepada MA63 kerana ia adalah dua entiti yang berlainan.

“Maximus perlu berjiwa besar sebagai seorang anak Sabah. Lebih-lebih lagi sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Sabah dan Sarawak,” katanya.

Azhar berkata, Maximus disarankan agar tidak menggadaikan hak dan maruah orang Sabah sebaliknya berusaha dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan hak rakyat negeri ini.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.