
SHAH ALAM, 17 NOV: Projek tebatan banjir bernilai RM40 juta di Taman Rashna, Klang perlu disegerakan, manakala langkah perlindungan sementara wajar diteruskan bagi menjaga keselamatan penduduk.
Wakil Rakyat Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron berkata penjelasan mengenai status kajian, agensi pelaksana, jadual perolehan dan tarikh kerja bermula perlu diberikan supaya penduduk mengetahui perkembangan projek berkenaan.
"Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan RM40 juta bagi projek tebatan banjir untuk menangani masalah di kawasan terlibat. Saya menggesa supaya pelaksanaannya dipercepat demi manfaat penduduk Taman Rashna dan kawasan berkaitan.
"Penduduk memerlukan kepastian tentang jadual pelaksanaan dan bila perlindungan itu dapat berfungsi. Saya memohon penjelasan tentang status kajian, agensi pelaksana, jadual perolehan serta tarikh jangkaan kerja bermula.
"Sementara menunggu projek kekal, langkah perlindungan sementara dan penyelenggaraan saliran mesti diteruskan. Kita menghargai peruntukan yang diluluskan, tanggungjawab seterusnya ialah memastikan setiap peruntukan diterjemahkan kepada perlindungan yang boleh dirasai rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2027 pada persidangan Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Danial yang juga Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) mencadangkan Kerajaan Negeri menaikkan elaun bulanan petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) kepada sekurang-kurangnya RM1,700.
Beliau berkata, ketika ini petugas PPDK menerima elaun RM1,200 sebulan, manakala penyelia menerima RM1,500, sedangkan tanggungjawab mereka merangkumi pelbagai aspek pemulihan dan pembangunan kemahiran golongan orang kurang upaya (OKU).
"Selangor mempunyai 162,177 orang kurang upaya (OKU) berdaftar dan 66 PPDK yang menyediakan perkhidmatan pemulihan kepada 2,448 OKU, dengan sokongan 66 penyelia serta 404 petugas.
"Mereka melaksanakan tanggungjawab yang menuntut kesabaran, kemahiran dan perhatian tinggi.
"Tugas mereka merangkumi latihan pengurusan diri, perkembangan kemahiran, sokongan aktiviti harian serta kerjasama dengan keluarga bagi membantu pelatih mencapai keberdikarian. Saya memohon supaya Kerajaan Negeri mempertimbangkan elaun tambahan bagi petugas PPDK," katanya.






