Segerakan SEGiM elak rider jadi ‘kambing hitam’ sindiket dadah

LocalPolitics
18 Aug 2026 • 8:08 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Segerakan SEGiM elak rider jadi ‘kambing hitam’ sindiket dadah

KUANTAN: Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) perlu disegerakan sebagai benteng perlindungan undang-undang yang kukuh kepada lebih 1.2 juta penggiat industri ber­kenaan, khususnya penghantar barangan dan makanan.

​Langkah mempercepat penu­buhan badan pengawal selia itu disifatkan kritikal susulan pendedahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tentang peningkatan ketara kes penyalahgunaan perkhidmatan kurier dan penghantaran pantas oleh sindiket pengedaran dadah yang menjadikan pekerja gig sebagai mangsa keadaan serta ‘kambing hitam’.

Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PPHM), Abdul Hakim Abdul Rani berkata, lonjakan kes jena­yah melibatkan perkhidmatan penghantaran menjadi bukti jelas bahawa keselamatan dan maruah golongan pekerja p-hai­ling kini berada dalam keadaan membimbangkan.

“Majoriti rider yang mengambil pesanan penghantaran bung­kusan tidak mempunyai keupa­yaan mahupun kepakaran untuk memeriksa kandungan sebenar setiap barang yang diikat rapi oleh pengirim.

“Ini mendedahkan golongan itu kepada ancaman tindakan perundangan drastik jika dita­han pihak berkuasa semasa da­lam perjalanan atas kesalahan yang tidak mereka lakukan.

“Jadi, penubuhan SEGiM bersama pelaksanaan undang-undang berkaitan memboleh­kan prosedur operasi standard (SOP) penghantaran diperkemas secara menyeluruh termasuk menguatkuasakan kaedah Semakan Pengesahan Identiti (KYC) ter­hadap pengirim barang bagi mengelakkan transaksi tanpa nama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Abdul Hakim berkata, SEGiM berupaya memberi kuasa dan hak perundangan kepada penghantar untuk menolak sebarang pesanan bungkusan mencurigakan tanpa perlu bimbang dikenakan tindakan tatatertib, penggantungan akaun atau pemotongan kadar pendapatan oleh syarikat platform penyedia perkhidmatan.

Katanya, fungsi suruhanjaya itu tidak seharusnya tertumpu kepada isu penetapan kadar upah, caruman Perlindungan Ke­selamatan Sosial (Perkeso) atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semata-mata.

Sebaliknya menurut beliau, ia wajib merangkumi penyediaan mekanisme bantuan guaman dan perlindungan keselamatan nyawa serta integriti pekerja.

“Kerajaan perlu dan wajar menyegerakan penubuhan SEGiM bagi memastikan setiap penggiat ekonomi gig di negara ini dapat bekerja dalam persekitaran yang selamat, adil dan dilindungi dari­pada eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Pada 11 Ogos lalu, akhbar ini melaporkan, sebanyak 57 kes membabitkan penyalahgu­naan perkhidmatan kurier untuk penghantaran dadah direkodkan PDRM dalam tempoh Januari hingga Jun lalu sekali gus me­nunjukkan kaedah ber­kenaan semakin menjadi pilihan sindiket pengedaran dadah.

Trend itu turut menyaksikan penggunaan perkhidmatan ku­rier oleh sindiket meningkat ham­pir dua kali ganda mendo­rong PDRM memperketat kerja­sama dengan pihak berkaitan bagi mengekang kegiatan berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, jumlah itu menyaksikan kes yang dikesan bagi tempoh Januari hingga Jun lalu sudah hampir menyamai keseluruhan 65 kes yang direkodkan sepanjang tahun lalu.

Sebelum itu, beliau turut berkata, PDRM akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Pengangkutan bagi memperketat prosedur perkhidmatan kurier, peng­hantaran barang dan p-hailing.-UTUSAN.

The post Segerakan SEGiM elak rider jadi ‘kambing hitam’ sindiket dadah appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved