Segmen pembungkusan plastik Scientex diunjur kekal suram kesan kelembapan ekonomi - Kenanga Research

Business & Finance
6 Feb 2024 • 12:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Segmen pembungkusan plastik Scientex diunjur kekal suram kesan kelembapan ekonomi - Kenanga Research

azan

06/02/2024 - 12:35

KUALA LUMPUR 6 Feb - Kenanga Research mengunjurkan segmen pembungkusan plastik Scientex Bhd kekal suram kesan daripada kelembapan ekonomi global.

Katanya, keadaan itu diburukkan lagi dengan lonjakan mendadak harga resin di pasaran selain permintaan pengguna yang lemah bagi bahan pembungkusan akibat pergerakan ekonomi global yang lemah.

Sebelum ini, hasil kumpulan itu bagi segmen pembungkusan plastik susut kepada RM650.4 juta bagi suku pertama berakhir 31 Oktober 2023 (1QFY24) berbanding RM716 juta bagi suku sama tahun sebelumnya.

Penysutan hasil sebanyak 9.2% itu disebabkan eksport yang lebih lemah dalam segmen pembungkusan pengguna.

Sementara itu, firma penyelidikan itu positif terhadap langkah kumpulan itu mengambil alih 24 bidang tanah berukuran secara agregat kira-kira 442.8 hektar berharga RM200 juta yang terletak di Parit Jawa, Muar bagi tujuan pembangunan bercampur.

Katanya, ia merupakan pembelian yang baik kerana harga tanah sekaki persegi adalah lebih rendah daripada harga permintaan tanah pertanian di kawasan yang sama iaitu sekitar RM9.20 bagi sekaki persegi.

"Harga yang ditetapkan itu mungkin disebabkan bentuk muka bumi yang tidak rata yang berkemungkinan memerlukan kerja tambahan dan ia mungkin mempunyai kecekapan tanah yang lebih rendah disebabkan oleh sekatan tentang cara tanah itu boleh digunakan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Kenanga Research berkata, penilaiannya untuk Scientex kekal pada 12 kali anggaran pendapatannya untuk FY24, mencerminkan premium berbanding purata industri sebanyak 10 kali ganda, memandangkan saiz syarikat sebagai antara pemain terbesar di rantau ini.

"Kami menyukai Scientex kerana kedudukan kukuhnya dalam segmen perumahan mampu milik di Johor," katanya.- DagangNews.com