Segmen perladangan jadi pemacu utama pertumbuhan TDM Berhad, hasil FY2025 naik 19% kepada RM768.1 juta

LocalBusiness & Finance
28 Apr 2026 • 6:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Segmen perladangan jadi pemacu utama pertumbuhan TDM Berhad, hasil FY2025 naik 19% kepada RM768.1 juta Image from: Segmen perladangan jadi pemacu utama pertumbuhan TDM Berhad, hasil FY2025 naik 19% kepada RM768.1 juta liza28/04/2026 - 18:15 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 April – TDM Berhad mencatatkan prestasi kewangan yang lebih kukuh bagi tahun kewangan berakhir 2025 (FY2025), disokong oleh peningkatan hasil serta keuntungan yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

 

Pertumbuhan ini dipacu oleh prestasi memberangsangkan segmen perladangan serta sumbangan stabil daripada segmen penjagaan kesihatan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan itu berkata ia merekodkan hasil sebanyak RM768.1 juta pada FY2025, meningkat 19% berbanding RM645.6 juta pada FY2024. 

 

“Keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak ketara kepada RM42.4 juta daripada RM10.3 juta pada tahun sebelumnya dan keuntungan bersih pula meningkat kepada RM21.2 juta berbanding RM3.7 juta pada tahun sebelumnya disokong oleh prestasi lebih kukuh dalam segmen perladangan dan pertumbuhan hasil kumpulan.

 

“EBITDA kumpulan turut mencatat peningkatan kepada RM140.5 juta berbanding RM109.8 juta pada FY2024, mencerminkan penambahbaikan operasi, harga komoditi yang lebih kukuh serta permintaan perkhidmatan kesihatan yang stabil,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Segmen perladangan menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan, dengan hasil meningkat 37.2% kepada RM399.5 juta. Prestasi ini disokong oleh harga purata minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) yang lebih tinggi sepanjang tahun.

 

Harga purata MSM meningkat kepada RM4,325 setan berbanding RM4,141 setan pada tahun sebelumnya, manakala harga PK melonjak 22.8% kepada RM3,532 setan. Permintaan eksport yang kukuh turut menyokong prestasi sektor ini.

 

Sementara itu, segmen penjagaan kesihatan merekodkan hasil sebanyak RM368.6 juta, meningkat 4% berbanding RM354.4 juta pada FY2024 disokong oleh peningkatan aktiviti pesakit luar dan penggunaan perkhidmatan hospital yang stabil.

 

t

 

Margin keuntungan segmen penjagaan kesihatan sedikit terjejas berikutan pemberian diskaun di bawah perjanjian insurans panel serta peningkatan kos tenaga kerja dan bahan perubatan, yang telah memberi tekanan kepada tahap keuntungan operasi walaupun permintaan perkhidmatan kekal stabil.

 

Dari segi keuntungan, segmen perladangan mencatat PBT sebanyak RM47.1 juta, meningkat hampir lima kali ganda berbanding RM8.2 juta pada FY2024. Sebaliknya, segmen penjagaan kesihatan merekodkan PBT lebih rendah pada RM24.4 juta berbanding RM31.1 juta sebelumnya.

 

Secara keseluruhan, kumpulan mencatat PBT RM42.4 juta selepas mengambil kira kerugian di peringkat syarikat pelaburan sebanyak RM29.1 juta yang menjejaskan keuntungan keseluruhan.

 

Pendapatan bersih selepas cukai (PAT) meningkat kepada RM21.2 juta berbanding RM3.7 juta pada FY2024, manakala pendapatan sesaham (EPS) naik kepada 1.03 sen berbanding 0.65 sen sebelumnya.

 

Dari sudut kedudukan kewangan, jumlah aset kumpulan kekal stabil pada RM1.70 bilion, manakala ekuiti pemegang saham susut sedikit kepada RM668.2 juta berbanding RM722 juta pada tahun sebelumnya.

 

Nisbah pulangan ke atas ekuiti (ROE) menunjukkan peningkatan ketara kepada 3.05% berbanding 0.53% pada FY2024, mencerminkan pemulihan prestasi keuntungan kumpulan.

 

Jumlah pinjaman meningkat sedikit kepada RM464 juta dengan nisbah gearing 0.50 kali, manakala kedudukan tunai berkurang kepada RM69 juta berbanding RM110.9 juta pada tahun sebelumnya.

 

Bagi FY2025, TDM mengisytiharkan dividen sebanyak 0.69 sen sesaham, menjadikan jumlah agihan dividen sebanyak RM11.9 juta, dengan sebahagiannya diagihkan daripada keuntungan tahun semasa dan selebihnya daripada tahun sebelumnya.

 

Melangkah ke hadapan, TDM menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh operasi di bawah pelan strategik FOCUS 30, dengan fokus kepada peningkatan produktiviti perladangan, pengembangan berhemat sektor penjagaan kesihatan serta pengurusan kewangan yang berdisiplin bagi memastikan pertumbuhan mampan jangka panjang. - DagangNews.com

Terkini featured standard