IPOH – Polis menemui lebih 20 kilogram dadah jenis ketamin yang ditinggalkan di dalam sebuah guni di kawasan tepi pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor pada Rabu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, rampasan tersebut dibuat kira-kira jam 9 malam oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung dengan kerjasama Balai Polis Pangkor hasil maklumat awam.
"Pemeriksaan ke atas guni tersebut menemui 20 bungkusan plastik yang disyaki mengandungi dadah jenis ketamin dengan anggaran berat keseluruhan 20.2 kilogram.
"Nilai dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM1.01 juta," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Noor Hisam berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Sementara itu beliau menegaskan, kejayaan rampasan tersebut adalah hasil kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
Tegasnya, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
"Memiliki, mengedar atau melindungi kegiatan dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang.
"Usaha membanteras dadah akan terus dipergiat bagi melindungi generasi masa kini dan akan datang," katanya.
Dalam pada itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah boleh menyalurkannya kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik melalui talian hotline 012-208 7222.
