'Sehari sekali' - Warga emas ditahan bersama 800kg beras seludup

23 Jun 2026 • 7:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Sehari sekali' - Warga emas ditahan bersama 800kg beras seludup
Kegiatan seorang warga emas yang dipercayai menyeludup beras dari Thailand dengan melakukan satu perjalanan penghantaran sekali sehari akhirnya tumpas selepas ditahan PGA dalam Op Taring Wawasan pada Isnin. - FOTO: PGA

TANAH MERAH - Kegiatan seorang warga emas yang dipercayai menyeludup beras dari Thailand dengan melakukan satu perjalanan penghantaran sekali sehari akhirnya tumpas selepas ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Taring Wawasan pada Isnin.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, lelaki berusia 62 tahun itu ditahan bersama 800 kilogram (kg) beras dipercayai diseludup dari negara jiran dalam serbuan di Kampung Batu Hitam di sini kira-kira jam 8.30 malam.

Menurut beliau, anggota Strike Force Kompeni A Batalion 8 PGA yang sedang menjalankan rondaan di kawasan Kampung Lalang Pepuyu mengesan sebuah Proton Wira Aeroback dalam keadaan mencurigakan.

"Suspek yang menyedari kehadiran anggota PGA bertindak memecut kenderaannya ke arah Kampung Panglima Bayu bagi mengelak diperiksa.

"Anggota kemudian mengekori kenderaan terbabit sebelum suspek memberhentikan kereta di bahu jalan di Kampung Batu Hitam dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Ujar beliau, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 700kg beras pelbagai jenis dan 100kg beras pulut yang dipercayai dibawa masuk secara haram dari Thailand.

Menurutnya, sebuah Proton Wira Aeroback yang digunakan untuk mengangkut bekalan beras tersebut turut dirampas.

"Keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM13,500," katanya.

Ahmad Radzi memberitahu, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku mendapatkan bekalan beras berkenaan melalui pangkalan haram di Kampung Lalang Pepuyu sebelum dihantar ke pasaran di Paloh Rawa, Machang.

"Suspek juga mengaku melakukan kegiatan tersebut dengan satu perjalanan penghantaran setiap hari dan bekerja dengan seorang individu warga Thailand yang dikenali sebagai Shida," katanya.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 dan telah dirujuk kepada Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved