
Perayaan Tahun Baru Cina bakal disambut rakyat Malaysia yang berbangsa Cina pada hari Ahad ini. Semestinya kita sebagai rakyat Malaysia sudah tahu tentang perayaan yang seringkali disambut rakyat Malaysia berbangsa Cina, sama ada pada bulan Januari atau Februari setiap tahun. Sebagai rakyat Malaysia, kita juga menyambut perayaan ini bersama-sama dengan sahabat-sahabat Cina kita dengan mengambil peluang untuk meluangkan masa bersama-sama keluarga, rakat-rakan, mahupun untuk pergi bercuti sewaktu cuti kebangsaan.
Namun, tahukah kita sejarah dan tradisi di sebalik sambutan Tahun Baru Cina?

Kalau anda tidak tahu, sambutan Tahun Baru Cina ini bermula beribu-ribu tahun yang lalu iaitu pada abad ke-14 SM, semenjak zaman Dinasti Shang, di bawah pemerintahan Maharaja Wu. Pada zaman tersebut, kebanyakan warga China merupakan petani di sana, mereka sering memohon dan berdoa untuk mendapatkan cuaca yang baik dan musim menuai yang baik. Maka, salah satu sebab utama Tahun Baru Cina diperkenalkan oleh ahli ilmuan Cina ketika itu adalah sebagai hari menyambut suatu perkara baru dan baik dan membuang perkara-perkara lampau yang buruk.
Sebelum ia dinamakan Tahun Baru Cina, hari perayaan ini lebih senang dipanggil sebagai Perayaan Musim Bunga. Ini kerana, hari pertama jatuhnya perayaan ini adalah hari pertama perubahan musim daripada musim sejuk ke musim bunga. Musim bunga adalah permulaan tanah menjadi lebih subur, maka lebih sesuai untuk bercucuk tanam, memulakan keluarga baru dan sebagainya.
Tarikh sambutan Tahun Baru Cina juga tidak mengikut calendar Gregorian yang digunapakai kita setiap hari tetapi berdasarkan kalendar Cina, iaitu berdasarkan takwim qamari (lunar-solar calendar). Hari pertama di dalam kalendar ini penting kerana ia adalah hari untuk menunjukkan penghormatan, bukan sahaja untuk ahli keluarga yang lebih tua yang masih hidup tetapi juga nenek moyang yang sudah meninggal dunia dan dewa dewi kepercayaan mereka.
Walaupun zaman sudah moden kini, mereka yang berbangsa Cina masih cuba mengekalkan tradisi yang diwarisi semenjak zaman nenek moyang mereka. Ini termasuk menjaga beberapa pantang larang yang tidak boleh dilakukan pada hari pertama perayaan Tahun Baru Cina tersebut. Lima jenis pantang larang terkenal dan masih dipraktikkan dikalangan bangsa Cina Malaysia adalah:
- Jangan memakai pakaian berwarna hitam atau putih kerana ia warna berkabung. Gunakan warna merah atau emas. Gunakan pakaian baru dan bukan pakaian lama.
- Jangan menyapu rumah atau membuang sampah pada hari pertama perayaan kerana ia seakan-akan menyapu atau membawa keluar rezeki.
- Jangan membasuh pakaian atau rambut. Ini kerana hari pertama dan kedua Tahun Baru Cina adalah hari lahir “Dewa Air” dan menggunakan air yang banyak adalah seakan-akan tidak menghormati dewa tersebut.
- Jangan menggunakan jarum, gunting atau benda-benda tajam yang boleh menyebabkan luka kerana sekiranya anda terluka, ia akan menyebabkan nasib malang sepanjang tahun.
- Jangan memakan daging atau bubur pada hari pertama perayaan. Ini kerana ia adalah hari menghormati dewa dewi dan dewa dewi tidak memakan daging haiwan. Bubur juga dilarang kerana beribu tahun yang lalu di China, bubur hanya dimakan oleh orang yang sangat miskin. Maka, memakan bubur pada tahun baru adalah seperti orang miskin dan akan mengundang nasib malang dan kemiskinan sepanjang tahun.
Sekarang, tahukah anda sedikit sebanyak sejarah dan tradisi sahabat-sahabat Cina anda? Menarik bukan? Sejarah dan tradisi adalah perkara yang membuatkan seseorang itu unik. Menghormati dan menghargai keunikan orang lain adalah suatu perkara yang baik dan matang yang patut dilakukan oleh semua manusia di dunia ini. Mari kita raikan rakan-rakan Cina kita sempena tahun baru mereka.

Hantar artikel/video berkaitan #CNY2023 dan menangi hadiah wang tunai sehingga RM10,000! Ambil bahagian di sini.
Saya Zuan adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.