
Baru baru in, wujud desas desus bahawa bahawa pilihan raya mengejut akan diadakan pada akhir tahun ini.
Tetapi siapa yang memulakan khabar angin ini? Dia tidak lain dan tidak bukan ialah Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat lalu (7 Feb), beliau telah menyatakan bahawa Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah mengarahkan jentera parti digerakkan serta-merta sebagai persiapan untuk kemungkinan pilihan raya umum mengejut pada akhir tahun ini.
Menurut Azmin, Muhyiddin mengeluarkan arahan itu selepas satu mesyuarat antara kepimpinan tertinggi Bersatu dan PAS, di mana mereka membincangkan beberapa “perkembangan yang sangat menggalakkan”.
Apakah “perkembangan yang menggalakkan” ini?
Adakah konspirator Langkah Sheraton yang pertama telah berjaya mencipta konsidi untuk menggerakkan Langkah Sheraton yang kedua? Adakah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, akhirnya telah bersetuju untuk mengkhianati Datuk Seri Anwar Ibrahim dan membawa UMNO ke pihak lawan? Adakah Perikatan Nasional (PN) berjaya meyakinkan Sarawak untuk mengalihkan sokongan? Adakah terdapat satu lagi konspirasi yang sedang dirancang di Dubai seperti yang berlaku pada awal 2024?
Tiada siapa yang tahu.
Pada pandangan saya, hanya ada satu syarat yang akan membolehkan pilihan raya mengejut diadakan pada akhir tahun ini, dan syarat itu hanya akan dipenuhi apabila persepsi awam berubah secara drastik terhadap pentadbiran Madani sehingga menyebabkan sejumlah besar ahli parlimen dalam kem kerajaan perpaduan merasakan bahawa kepentingan mereka lebih terjamin sekiranya mereka mengalihkan sokongan mereka kepada pembangkang.
Apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) pertama di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad digulingkan pada tahun 2020, ia berlaku kerana sejumlah besar ahli parlimen dalam kerajaan pada masa itu percaya bahawa pendapat umum tidak menyebelahi kerajaan.
Oleh itu, mereka beralih sokongan kepada pembangkang untuk kekal seiring dengan pendapat umum.
Namun pada masa kini, tiada sebab untuk ahli parlimen dalam kerajaan perpaduan percaya bahawa ada keperluan mereka untuk menukar sokongan kepada pihak pembangkang agar kedudukan mereka adalah seiring dengan pendapat umum.
Walaupun mereka boleh mendengar rungutan terhadap pentadbiran Anwar di peringkat akar umbi, ada keraguan sama ada rungutan itu cukup kuat untuk meyakinkan mereka bahawa rakyat akan menyokong mereka, atau sekurang-kurangnya tidak membantah keputusan mereka, sekiranya mereka memilih untuk untuk beralih sokongan.
Kesukaran untuk menukar kerajaan juga mungkin menghalang mereka daripada memilih untuk berpaling tadah.
Untuk menggulingkan kerajaan perpaduan, sekurang-kurangnya dua parti dalam kerajaan perpaduan, sebaik-baiknya UMNO dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), mesti serentak meninggalkan kerajaan perpaduan dan beralih sokongan kepada PN.
Bagaimanapun, kesukaran untuk membuatkan dua parti besar seperti UMNO dan GPS meninggalkan kerajaan perpaduan secara serentak adalah sangat tinggi sehingga sukar untuk mana-mana konspirator mencapainya tanpa pengetahuan kerajaan perpaduan.
Walaupun mungkin wujud segilintir ahli parlimen kerajaan yang benar-benar percaya dengan pendirian mereka dan sanggup berpaling tadah demi memperjuangkan sesuatu yang mereka yakini, mereka tetap tidak mempunyai pemimpin dalam pembangkang untuk memimpin perjuangan mereka.
Muhyiddin mungkin secara rasmi adalah ketua pembangkang, tetapi beliau bukanlah ketua pembangkang secara hakikat. Beliau hanya berada di kedudukan itu hari ini kerana pembangkang tidak dapat bersetuju mengenai penggantinya dan bukannya kerana mereka benar-benar mempercayai kepimpinannya atau pendiriannya.
Jika syarat untuk berlakunya pilihan raya mengejut pada akhir tahun ini tidak wujud, mengapa Azmin dan Muhyiddin menyatakan ia akan berlaku?
Pada pandangan saya, mereka mungkin hanya mengatakan sebegitu dengan harapan bahawa jika cukup ramai mempercayai apa yang mereka katakan, mungkin apa yang mereka harapkan akan benar-benar berlaku.
Selain itu, mereka juga mungkin menimbulkan desas desus ini, untuk menghalang lebih ramai ahli parlimen Bersatu daripada berpaling tadah kepada pihak kerajaan perpaduan.
Setakat ini, enam ahli parlimen telah meninggalkan Bersatu. Jika kepimpinan tertinggi Bersatu tidak merancang apa-apa, mungkin lebih ramai ahli parlimen mungkin akan berpaling tadah kerana mereka merasakan tiada hala tuju dalam parti.
Dengan menyatakan bahawa mereka mempunyai “maklumat rahsia” yang membuatkan mereka percaya pilihan raya mengejut akan diadakan pada akhir tahun ini, Azmin dan Muhyiddin mungkin berharap mereka dapat meyakinkan ahli parlimen mereka yang merancang untuk berpaling tadah supaya menunggu dan melihat dahulu perkembangan selanjunnya sebelum membuat keputusan yang jitu.
Selain itu, secara umumnya, jika kepimpinan sebuah parti tidak dapat menggerakkan apa-apa ke hadapan, sekurang-kurangnya mereka perlu menggerakkan sesuatu, walaupun pergerakkan itu tidak mempunyai hala tuju, untuk memastikan ahli mereka kekal sibuk.
Dengan menyatakan bahawa pilihan raya mengejut mungkin diadakan pada akhir tahun ini, kepimpinan Bersatu sekurang-kurangnya dapat memastikan ahli mereka sibuk membuat persiapan untuk mnghadapi kemungkinan ini sehingga akhir tahun ini.
Jika ahli mereka benar-benar komited dalam persiapan pilihan raya mengejut, mungkin keadaan yang memungkinkan pilihan raya mengejut akan terbentuk.
Jika tidak, itu juga tidak mengapa, kerana apabila mereka mencapai akhir tahun 2025 tanpa sebarang pilihan raya mengejut, mereka hanya perlu mengumumkan sekali lagi bahawa pilihan raya umum akan berlaku dalam setahun atau dua lagi, dan kali ini, mereka pasti akan betul kerana mandat kerajaan perpaduan dijadualkan tamat pada tahun 2027.
TheRealNehruism adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.




