HP adalah salah satu jenama pengeluar produk perkomputeran yang dijangka akan memperlihatkan banyak produk baru di acara CES 2026 yang akan berlangsung di Las Vegas tidak lama lagi. Terkini, ia dilaporkan bahawa butiran sejumlah produk yang akan diperkenalkan telah tertiris ke arena web.
Bermula dengan siri komputer riba gaming, HP dijangka akan memperkenalkan sekurangnya tiga model dibawah jenama HP Omen, termasuklah HP Omen 15, HP Omen 16 dan HP Omen Max 16. Komputer-komputer riba ini akan hadir dengan penawaran siri cip pemprosesan AMD Ryzen AI 400 dan Intel Core Ultra 300 “Panther Lake”. Nama-nama model cip seperti AMD Ryzen 7 450 dan Intel Core Ultra 9 386H telah diperlihatkan untuk menguasakan bahagian perkomputeran model-model ini.

Dari segi GPU pula, HP Omen 15 dan HP Omen 16 dijangka akan dikuasakan oleh kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5070, manakala HP Omen Max 16 akan hadir dengan pilihan sehingga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090.
Melengkapkan spesifikasi dalaman komputer-komputer riba ini ialah penawaran memori LPDDR5X 16GB sehingga 64GB dan storan SSD PCIe 4.0 512GB sehingga 2TB, bergantung kepada model komputer riba.
Kesemua komputer-komputer riba ini akan hadir dengan paparan skrin OLED dengan resolusi 2.5K dan 3K dengan kadar segar semula 120Hz, 165Hz dan 240Hz.
Ia juga akan hadir dengan papan kekunci kelas gaming dengan kadar pola setinggi 8000Hz yang menurut HP, akan membolehkan pengguna untuk memasukkan input dalam permainan pada kadar yang sangat pantas, sesuai sekiranya anda gemar bermain permainan PVP bersama pemain-pemain lain.

