
PUTRAJAYA: Sejumlah sejuta penerima Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) telah menjalani saringan penyakit tidak berjangkit (NCD) sehingga 6 Julai lepas sejak dilancarkan April 2019, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa (pix).
Beliau berkata mereka telah menjalani saringan kesihatan percuma pengesanan awal NCD dan faktor risikonya seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi dalam darah, obesiti, kemurungan, kerisauan dan kanser.
“Sekitar 400,000 atau 40 peratus daripada mereka telah mengetahui berkenaan penyakit senyap ini dan telah dirujuk untuk rawatan selanjutnya bagi mencegah mereka daripada mengalami komplikasi serius,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, skim Peka B40, di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), menawarkan empat manfaat kepada penerima.
Katanya, manfaat pertama meliputi saringan kesihatan percuma di klinik swasta yang berdaftar untuk program PeKa B40 dan klinik kesihatan KKM manakala manfaat kedua melibatkan bantuan kesihatan yang merangkumi 10 kategori peralatan perubatan percuma sehingga RM20,000 seperti stent jantung, kanta intra-okular, dan implan sendi tiruan, sepanjang hayat mereka.
Manfaat ketiga, beliau berkata, ia adalah insentif penyelesaian rawatan kanser dan insentif tunai RM1,000 manakala manfaat keempat pula ialah insentif pengangkutan iaitu kos pengangkutan bernilai RM500 bagi Semenanjung Malaysia atau RM1,000 bagi Sabah dan Sarawak semasa menerima rawatan perubatan bagi penerima manfaat pertama dan kedua.
Dr Zaliha berkata sehingga hari ini, lebih 50,000 penerima manfaat PeKa B40 telah menerima 60,000 bantuan kesihatan iaitu peralatan kesihatan percuma bernilai RM110,000,000 sejak skim itu diperkenalkan.
“Sejumlah 7,000 penerima menerima Insentif Penyelesaian Rawatan Kanser dan 12,000 menerima Insentif Pengangkutan.
“Kementerian berterima kasih kepada 3,100 klinik perubatan am swasta (GP), 990 klinik kesihatan, 170 makmal swasta dan 140 hospital KKM atas sokongan berterusan mereka terhadap program ini dalam memberi manfaat khususnya kepada kumpulan B40,” katanya. -Bernama

