Sekadar seri, Malaysia terlepas slot Piala Asia B-17

LocalFootball
20 Nov 2026 • 11:15 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sekadar seri, Malaysia terlepas slot Piala Asia B-17

KUALA LUMPUR – Skuad bola sepak Bawah 16 Tahun (B-16) kebangsaan kempunan untuk melangkah ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2027 apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang India hari ini.

Pada aksi terakhir Kumpulan E yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi, pasukan negara terpaksa berpuas hati dengan satu mata di kala mereka perlu menang dengan perbezaan tiga gol.

Malaysia yang turun sebagai tuan rumah bermula garang apabila hampir membuka tirai jaringan seawal minit keenam apabila percubaan penyerang, Nur Azam Muslim Nor Hisham sekadar singgah di tiang gol India.

Kedua-dua pasukan dilihat menampilkan aksi cukup seimbang tetapi Malaysia lebih banyak memegang bola selain melakukan serangan demi serangan yang berjaya meletakkan India dalam keadaan tertekan.

Kemudian, Nur Azam sekali lagi berpeluang meletakkan pasukan negara di depan pada minit ke-20, namun tolakan yang dilakukan sedikit tersasar selepas menerima hantaran lintang cukup menarik dari Muhammad Aqif Syameel Muhamad Fairul.

Walaupun kedua-dua pasukan saling mengasak memburu jaringan sulung, namun aksi separuh masa pertama berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Bersambung separuh masa kedua, percubaan voli dilakukan Muhammad Syaifullah Mahruzi pada minit ke-46 tersasar dan dibiarkan sahaja oleh penjaga gol India, Maroof Shafi.

Peluang terbaik Malaysia untuk menjaringkan gol hadir 10 minit kemudian apabila sepakan dilakukan Felix Meitei Saikhom tersasar ke sebelah kiri gol India selepas dia menerima hantaran Aqif Syameel.

India juga dilihat beberapa kali mengasak pintu gol pasukan negara, namun dinafikan kekebalan benteng pertahanan yang diketuai kapten, Muhammad Fareez Danial Fadzly sebelum perlawanan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Menerusi keputusan tersebut, Malaysia menamatkan aksi kelayakan di tangga ketiga dengan tujuh mata manakala India muncul juara Kumpulan E mengumpul 10 mata, sekali gus mara ke Piala Asia B-17 di Uzbekistan tahun depan.

Sebagai rekod, hanya juara setiap kumpulan pada peringkat kelayakan akan mendapat slot ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2027. – KOSMO! ONLINE

The post Sekadar seri, Malaysia terlepas slot Piala Asia B-17 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved