Sekali lafaz Ina Naim sah isteri Khairul Rizal. Mesej di WhatsApp asbab jodoh

LocalEntertainment
8 Nov 2024 • 10:51 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

PENYANYI Ina Naim kembali bergelar isteri pada jam 9.30 pagi tadi.

Dengan hanya sekali lafaz ijab kabul, pemilik nama Nordiana Mohd Naim, 40, itu sah menjadi suri hati kepada Mohd Khairul Rizal dalam majlis di Kota Tinggi, Johor.

Menerusi perkongsian akaun TikTok Telur Pindang Tradisi Johor, Ina menerima mas kahwin berjumlah RM100.

Terdahulu, tular satu video memaparkan Khairul Rizal lengkap memakai busana putih sedang bersedia untuk proses akad nikah.

Turut dipaparkan hantaran perkahwinan yang dibawa bersama untuk diserahkan kepada pihak pengantin perempuan.

Sebelum itu, Sinarplus menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya menitipkan ucapan tahniah buat Ina dan bakal suami atas masjid yang bakal dibina.

image is not available

Rata-rata mendoakan agar perkahwinan yang dibina oleh penyanyi itu dipermudahkan dan diberkati oleh ALLAH SWT.

Menerusi sesi live baru-baru ini, Ina sempat berkongsi detik awal perkenalan bersama Mohd Khairul Rizal.

Ujarnya, lelaki itu kerap menghantar pesanan menerusi aplikasi WhatsApp.

"Sebelum Subuh dia akan hantar selamat pagi. Sebelum tidur good night. Saya jadi rimas, setiap hari WhatsApp. Kata nak beli barang tapi tak beli pun.

"Akhirnya saya delete chat dia kerana sudah dua tiga hari WhatsApp tetapi tak membeli. Saya tidak mahu banyak sangat nombor WhatsApp.

"Apabila dipadam, dia WhatsApp lagi. Dia cuma tulis 'Assalamualaikum, selamat pagi. Assalamualaikum, good night," katanya.

Sekadar info, Ina berkahwin dengan Suhaimi Saad yang juga bekas anggota kumpulan nasyid Inteam pada 12 Ogos 2007.

Beliau menggalas status ibu tunggal selepas Suhaimi meninggal dunia pada 15 November 2023 akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.