
KUALA LUMPUR - Sekalipun ada pihak yang memilih untuk tidak menzahirkan simpati kepada Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya berhubung Titah Adendum, namun adalah tidak wajar untuk mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan dalam keadaan yang sensitif ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sambil menyeru semua pihak supaya menangani isu itu dengan penuh sabar dan bijaksana, Perdana Menteri menegaskan kerajaan kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa.
“Badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar dan atas prinsip inilah saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Hakim.
“Maka, atas prinsip kedaulatan undang-undang, semua pihak wajar menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Hakim, termasuk ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia untuk mengemukakan rayuan, selain kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Isnin, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung titah adendum yang didakwa membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara beliau di bawahan tahanan rumah.
Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas mendapati titah berkenaan tidak dibincang atau diputuskan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Jan 2024.
Susulan keputusan itu, Najib perlu menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang.
Bagaimanapun kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang secara terbuka meraikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu mencetuskan kemarahan pemimpin Umno yang menyifatkan ia sebagai tidak wajar, biadap dan mencerminkan keangkuhan politik serta tidak sensitif.
Antara yang membidas kenyataan berkenaan termasuk Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Malah, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya ‘jangan menyimbah minyak pada api yang sedang marak’.
Berikutan itu, Dr Akmal meminta semua perwakilan supaya membawa isu supaya Umno menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU), yang dijadualkan Januari ini. - 23 Disember, 2025
The post Sekalipun tidak zahir simpati pada Najib, tidak wajar keruh suasana, tambah ketegangan : Anwar appeared first on Scoop.
