‘Sekarang masa jaga rakyat, rebut kuasa pilihan raya gelanggangnya’: PM

LocalPolitics
15 May 2026 • 12:05 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: ‘Sekarang masa jaga rakyat, rebut kuasa pilihan raya gelanggangnya’: PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar mesej tegas kepada semua pihak agar menghentikan segera percaturan politik demi kuasa, sebaliknya menumpukan kudrat sepenuhnya kepada kebajikan rakyat di tengah-tengah ketidaktentuan global.

Beliau menegaskan bahawa mandat dan penentuan kuasa mempunyai ruangnya yang tersendiri, iaitu melalui proses demokrasi apabila tiba masanya kelak.

"Negara kita menghadapi masalah, fokusnya ke masalah rakyat, bukan perebutan. Bukan masanya, ada masa dalam sistem kita… pilihan raya, itu gelanggangnya. Tapi sekarang masa kita bangun, rakyat harus diberi perhatian," katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengeluarkan arahan keras kepada semua agensi pembangunan usahawan dan institusi kewangan kerajaan supaya menghentikan budaya "menunggu pelanggan" di pejabat.

Sebaliknya, beliau mahu agensi terlibat lebih proaktif dengan turun ke lapangan bagi mengenal pasti sendiri denyut nadi peniaga kecil, khususnya golongan belia.

“Mesej saya jelas kepada semua agensi dan institusi kewangan kerajaan, cari jalan turun kepada rakyat. Jangan tunggu mereka datang ke pejabat memohon bantuan. Kalau ada gerai-gerai kecil di Kuala Lumpur, Seremban atau di mana-mana kawasan, turun jumpa mereka, tanya apa masalah mereka… Pihak kerajaan mesti hadir membantu rakyat,” tegas beliau.

Kenyataan itu dibuat bagi mengulas kemelut politik yang melanda Negeri Sembilan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Anwar turut memuji daya tahan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam mengemudikan pentadbiran negeri meskipun berdepan tekanan politik.

"Selesaikan cara musyawarah, muafakat yang baik. Negeri Sembilan juga tidak terlepas. Jadi saya tabik Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun kerana kecekalan dan semangat yang beliau tunjukkan dalam mengharungi kemelut politik yang tidak berkesudahan," tambahnya lagi ketika merasmikan Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 di X Park Sendayan, hari ini.

Sebagai bukti komitmen memperkasakan anak muda, Anwar turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM5 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) — peningkatan sebanyak RM1 juta berbanding peruntukan terdahulu.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari. - 15 Mei, 2026

The post ‘Sekarang masa jaga rakyat, rebut kuasa pilihan raya gelanggangnya’: PM appeared first on Scoop.