
KUALA LUMPUR - Kerajaan sekali lagi digesa mempertimbang kemungkinan menyekat atau mengharamkan sepenuhnya pengimportan cecair vape.
Ketua Pegawai Eksekutif Nanostix Innovations Sdn Bhd, Shahabudeen Jalil berkata, langkah lebih tegas diperlukan bagi menyekat produk berasaskan cecair vape luar negara, yang mengandungi bahan terlarang atau berbahaya.
Menurut beliau, sekatan seumpama itu juga mampu mengawal lambakan produk tidak berdaftar di pasaran, sekali gus memberi ruang kepada pengusaha tempatan yang mematuhi peraturan untuk berkembang secara lebih bertanggungjawab.
“Kami melihat langkah ini sejajar dengan hasrat kerajaan memperkukuh penguatkuasaan dan melindungi kesihatan awam, khususnya generasi muda yang semakin terdedah kepada penggunaan vape secara meluas,” katanya kepada Getaran di sini.
Shahabudeen menyatakan demikian ketika mengulas tindakan beberapa kerajaan negeri yang mengharamkan penjualan vape dan rokok elektronik, walaupun Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam (Akta 852) telah diluluskan di peringkat Persekutuan untuk mengawal selia industri ini secara sah.

Mengulas lanjut beliau berkata, langkah yang sepatutnya diambil pihak berkaitan ialah mencegah atau membasmi penyeludupan dan penyalahgunaan dadah yang berselindung di sebalik penjualan cecair vape.
“Mengharamkan vape secara menyeluruh hanya akan melemahkan industri sah dan menyuburkan pasaran gelap. Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar, tetapi cari punca sebenar dan atasi dengan bijak,” katanya, kesal.
Jelas Shahabudeen, kerajaan negeri dalam hal ini perlu memperkukuhpenguatkuasaan undang-undang sedia ada, termasuk pemantauan terhadap penyeludupan dadah berbahaya.
“Mereka juga perlu memastikan kawalan bahan mentah diutamakan kepada produk tempatan bagi memastikan kualiti dan keselamatan pengguna.
“Bagi memastikan isu ini ditangani secara holistik, mereka wajar mengadakan libat urus yang telus dengan industri, sebelum membuat keputusan yang memberi kesan besar kepada ekosistem ekonomi tempatan,” katanya.
Beliau menarik perhatian, langkah diambil beberapa kerajaan negeri itu telah mengundang kekeliruan, bukan sahaja kepada pemain industri, tetapi juga dalam kalangan pengguna.
“Di satu pihak, Kerajaan Persekutuan telah menyeru kepada pengawalseliaan yang lebih baik tetapi pada masa yang sama berlakunya tindakan pengharaman penuh di peringkat kerajaan negeri.
“Perkara ini menimbulkan persoalan seolah-olah kerajaan negeri menidakkan kebijaksanaan perundangan dan peraturan yang telah di buat di peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sebagai jenama vape tempatan yang telah beroperasi sejak 2018, Nanostix katanya, telah mematuhi segala peruntukan perundangan sedia ada, justeru tindakan terbabit perlu disemak dengan lebih menyeluruh agar tidak berlakunya kekeliruan.
“Isu sebenar yang perlu diberi perhatian ialah penyalahgunaan vape oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan memasukkan atau menyeludup masuk bahan terlarang seperti 'Vape Magic Mushroom' ke Malaysia.
“Vape terlarang itu kini dijual secara terbuka di pelbagai platform media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab dan ia bukannya dijual oleh syarikat tempatan yang sah,” katanya. - Getaran, 12 Mei 2025

