Sekat masuk kampung Orang Asli: Satu penghinaan kedaulatan, kedudukan Tok Batin -JKOASM

LocalPolitics
19 May 2026 • 7:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sekat masuk kampung Orang Asli: Satu penghinaan kedaulatan, kedudukan Tok Batin -JKOASM
JKOASM dan Pusat KOMAS menegaskan, Hak masyarakat Orang Asli untuk berhimpun, berbincang dan menerima maklumat adalah hak asasi yang wajar dihormati. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Tindakan sekatan memasuki perkampungan Orang Asli oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Perhutanan didakwa satu penghinaan terhadap kedaulatan, maruah dan kedudukan Tok Batin.

Kenyataan bersama Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) dan Pusat KOMAS menegaskan, Tok Batin dan barisan kepimpinan kampung mempunyai hak mutlak untuk membuat sebarang keputusan, mengadakan perjumpaan, menganjurkan program serta menguruskan hal ehwal di wilayah adat mereka.

Menurutnya, mereka sama sekali tidak perlu memohon izin atau kelulusan daripada Jabatan Perhutanan, Jakoa mahupun pihak polis untuk urusan dalaman komuniti mereka.

"Hak masyarakat Orang Asli untuk berhimpun, berbincang dan menerima maklumat adalah hak asasi yang wajar dihormati, bukannya dicabul oleh mana-mana pihak berkuasa.

"Negara ini telah lama merdeka dan kita bukan lagi berada dalam zaman darurat. Masyarakat Orang Asli tidak seharusnya dikawal dengan ketat atau dilayan seolah-olah mereka tidak mampu menentukan arah tuju komuniti sendiri.

"Oleh yang demikian, adat dan mandat yang diputuskan oleh Tok Batin bersama kepimpinan kampung dalam wilayah pentadbiran mereka perlulah dihormati dan dijunjung tinggi," ujarnya pada Isnin.

Sebelum ini, satu program penerangan berkaitan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) telah diadakan bersama masyarakat Orang Asli di Pos Lenjang, Lipis, Pahang.

Program inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO), barisan aktivis, dan peguam ini dianjurkan atas jemputan rasmi daripada Tok Batin serta penduduk setempat bagi memberi pencerahan mengenai hak-hak mereka serta implikasi akta tersebut terhadap komuniti.

Walau bagaimanapun, hasrat murni tersebut terbantut apabila  mereka termasuk peguam jemputan didakwa telah dihalang daripada memasuki wilayah Pos Lenjang oleh pihak Jabatan Perhutanan dan JAKOA.

Tambah kenyataan itu, mereka membantah sekeras-kerasnya sebarang bentuk intimidasi, ugutan dan percubaan untuk mengawal masyarakat Orang Asli kerana perbuatan sedemikian jelas mencabar adat serta martabat mereka di seluruh negara.

"Oleh itu, JKOASM, Pusat KOMAS dan  beberapa NGO menegaskan bahawa tiada undang-undang atau tindakan pihak berkuasa yang boleh melangkaui adat serta bidang kuasa Tok Batin di Tanah dan Wilayah Adat mereka.

"Kami menuntut agar semua pihak berkuasa termasuk pihak polis, Jabatan Perhutanan, JAKOA dan PERHILITAN agar menghormati adat setempat dengan memohon kebenaran secara rasmi daripada Tok Batin sebelum memasuki wilayah adat Orang Asli," ulasnya.

Antara NGO yang menyokong adalah Justice for Sisters, Persatuan Suku Jakun Pahang (PSJP), Pertubuhan Kebajikan Komuniti Jahut Pahang, Persatuan Perkasaan Sosial dan Pembangunan Perusahaan Perai, Andrew Khoo & Daniel Lo dan ramai lagi.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved