Sekatan sementara Grok ditarik balik jika isu kandungan selesai sepenuhnya: Fahmi

LocalPolitics
15 Jan 2026 • 12:31 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Sekatan terhadap Grok, alat kecerdasan buatan (AI) dibangunkan oleh xAI hanya akan ditarik semula jika isu kandungan mudarat diselesaikan sepenuhnya.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihak X perlu membuktikan secara menyeluruh bahawa kandungan berbentuk video atau imej yang boleh disalahgunakan tidak lagi dihasilkan sebelum sekatan sementara itu ditarik sepenuhnya.

Beliau memberitahu, ini kerana kerajaan ingin memastikan platform media sosial lebih selamat terutama kanak-kanak serta keluarga dan bebas daripada penipuan.

“Sekiranya mereka berjaya untuk menyahaktifkan dan tidak membolehkan penghasilan bahan-bahan yang dianggap online harm ataupun mudarat ini maka kerajaan akan menghentikan sekatan sementara ke atas Grok,’’ katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Centre for Responsible Technology (CERT) di sini hari ini.

Pada 11 Januari lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan sekatan sementara ke atas akses kepada Grok, alat kecerdasan buatan (AI) dibangunkan oleh xAI dan diintegrasikan ke dalam platform X, susulan penyalahgunaan berulang melibatkan kandungan lucah serta berbahaya.

Dalam kenyataannya, MCMC memaklumkan sekatan itu berkuat kuasa selepas X Corp. dan xAI LLC gagal melaksanakan langkah teknikal serta kawalan moderasi yang berkesan, meskipun telah diberi teguran dan notis rasmi sebelum ini.

Menurut MCMC, Grok didapati berulang kali disalahgunakan untuk menghasilkan kandungan lucah, eksplisit seksual, tidak senonoh dan keterlaluan, termasuk imej terubah suai tanpa kebenaran membabitkan wanita serta kanak-kanak.

Dalam pada itu, ditanya sama ada MCMC akan mengambil tindakan undang-undang ke atas X, Fahmi memberitahu keputusan terletak pada pihak suruhanjaya berkenaan.

“Saya serahkan kepada MCMC. Memandangkan X telah menyatakan bahawa ia akan menghadkan beberapa aspek aplikasi Grok, kita boleh mempertimbangkan (langkah seterusnya).

“Saya berharap perbincangan mendalam dapat diadakan dengan X bagi memastikan kerjasama yang rapat pada masa hadapan.

“Ini bukan hanya tuntutan dari Malaysia sahaja. Ia juga merupakan tuntutan dari Indonesia dan banyak negara di Eropah. Apabila banyak negara berkongsi pendirian yang sama, jelas ada perkara yang perlu X teliti,” katanya. - 15 Januari, 2026

The post Sekatan sementara Grok ditarik balik jika isu kandungan selesai sepenuhnya: Fahmi appeared first on Scoop.