'Sekelip mata bumbung garaj terangkat hempap reban ayam'

1 May 2026 • 1:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Sekelip mata bumbung garaj terangkat hempap reban ayam'
Muhamad Roslan menunjukkan garaj di rumahnya yang diterbangkan angin dalam kejadian pada petang Khamis.

KEPALA BATAS – Kejadian angin kencang yang dipercayai berpusar mengakibatkan bumbung sebuah garaj rumah terangkat dan tercampak ke tepi kediaman sebelum menghempap sebuah reban ayam dalam kejadian petang Khamis.

Mangsa, Muhamad Roslan Abd Rahim, 72, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.45 petang ketika dia berada di dalam rumah selepas pulang makan bersama rakan.

Menurutnya, ketika itu hujan tidak terlalu lebat namun disertai guruh dan angin kuat yang datang secara tiba-tiba.

“Saya masuk ke dalam bilik dan hanya sedar selepas dimaklumkan ahli keluarga bahawa bumbung garaj telah terangkat.

"Pada mulanya saya sangka hanya bumbung bahagian beranda rupanya keseluruhan struktur garaj termasuk empat tiang besi telah diterbangkan angin.

“Bila keluar, saya tengok bumbung itu sudah berada di tepi rumah dan menghempap reban ayam. Mujur reban ayam itu kosong," katanya ketika ditemui di Permatang Bertam di sini pada Jumaat.

Dia menambah, kejadian tersebut berlaku dalam tempoh kira-kira 15 minit manakala keseluruhan kejadian tidak sampai setengah jam.

“Memang sekelip mata sahaja, kami empat beranak yang ada di rumah ketika itu pun tidak sempat melihat bagaimana bumbung itu diterbangkan,” katanya.

Tambahnya, kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku sepanjang hampir 30 tahun menetap di kawasan berkenaan.

“Selama ini hanya tengok kejadian seperti ini berlaku di tempat lain, kali ini rumah sendiri pula yang kena,” ujarnya.

Menurutnya, tiada kecederaan dilaporkan kerana semua ahli keluarga berada di dalam rumah dan tidak keluar ketika kejadian.

Katanya, struktur utama rumah tidak mengalami kerosakan serius namun terdapat beberapa perabot dan bahagian kecil yang terjejas.

“Kereta anak saya ada di rumah ketika itu tetapi tidak mengalami kerosakan. Reban ayam yang terkena pula memang kosong,.

"Saya mengalami kerugian antara RM15,000 hingga RM20,000 membabitkan struktur garaj besi manakala reban ayam dianggarkan bernilai kira-kira RM5,000," katanya lagi.

Sementara itu, seorang wanita berdepan detik cemas apabila rumahnya di Kampung Permatang Kuang di sini rosak akibat ribut yang melanda kawasan itu kira-kira jam 6.30 petang.

Mangsa, Khairulnisya Mohamad Yatim, 25 berkata, ketika kejadian dia bersama ahli keluarganya berada di dalam rumah sebelum angin kuat secara tiba-tiba disertai hujan lebat.

Menurutnya, keadaan pada awalnya hanya angin biasa sebelum bertukar ganas dalam tempoh singkat.

“Pada mulanya angin kuat sekejap sahaja, kemudian datang semula bersama hujan lebat dan angin yang lebih kencang.

“Kami terus masuk ke dalam bilik untuk berlindung sebelum terdengar bunyi seperti ranting jatuh di atas bumbung,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sangkaan itu meleset apabila didapati sebatang pokok telah tumbang dan menghempap bahagian dapur rumahnya.

“Bila periksa semula, bukan ranting tetapi pokok tumbang sepenuhnya dan menghempap bahagian belakang rumah termasuk dapur serta berhampiran bilik mandi.

“Akibatnya, bumbung di bahagian itu runtuh,” katanya.

Dia menambah, kejadian tersebut merupakan kali kedua rumahnya dilanda ribut dengan insiden pertama sebelum ini menyebabkan kerosakan lebih teruk.

Katanya, pengalaman itu menyebabkan dia dan keluarga mengalami trauma setiap kali angin kuat melanda kawasan kediamannya itu.

“Sekarang kalau angin kuat, kami tak berani duduk dalam bilik sebab pokok berhampiran.

"Kami akan berada di bahagian depan rumah untuk lebih selamat. Ketika kejadian, kami berlima berada di rumah namun bersyukur tiada siapa yang cedera," katanya.

 

View Original Article