Sekitar Kemeriahan Karnival Robotik Bangi 2022

28 Jul 2022 • 6:12 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Karnival yang pertama kali diadakan di Bangi ini juga turut menarik perhatian Dr Ong Kian Ming (3 dari kanan) selaku Ahli Parlimen Bangi untuk hadir sebagai tetamu kehormat - Gambar ihsan Jazro

Karnival Robotik Bangi 2022 telah berlangsung dengan jayanya serta mendapat sambutan memberangsangkan dengan merekodkan seramai 630 peserta berdaftar.

Berlangsung di Evo Mall Bangi, karnival yang dianjurkan buat julung kalinya oleh Jazro ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran mengenai teknologi robotik dalam kalangan remaja.

image is not available

Dianggarkan kira-kira 2000 pengunjung, termasuk individu, ibu bapa, guru-guru, pelajar-pelajar sekolah dan kumpulan pelajar daripada lima buah sekolah berdekatan hadir ke karnival itu.

Karnival yang pertama kali diadakan di Bangi ini juga turut menarik perhatian Kian Ming selaku Ahli Parlimen Bangi untuk hadir sebagai tetamu kehormat.

Kian Ming berharap karnival yang mampu memberi peluang kepada kanak-kanak daripada keluarga B40 untuk belajar tentang teknologi robotik ini dapat dianjurkan lagi pada masa hadapan. 

image is not available

Pengasas Bersama Jazro, Ir. Dzulfarqeish Zainuddin pula berkata, pihaknya mahu membawa kanak-kanak ini lebih dekat dengan teknologi digital melalui penglibatan aktiviti secara langsung.

“Kami jadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan. Pendekatan ini berkesan terhadap kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam pertandingan, bengkel dan aktiviti lain,” ujarnya.

Syarikat asal Terengganu ini sudah mula berbincang dengan sekurang-kurangnya lima rakan kongsi berpotensi di Lembah Klang untuk menganjurkan acara serupa pada masa akan datang.

image is not available

“Karnival ini memberi kami inspirasi untuk terus menganjurkannya lagi bagi memupuk kesedaran mengenai robotik di kalangan remaja, termasuk daripada keluarga B40,” jelas Ir. Dzulfarqeish lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Evo Mall, Fauzi Ibni Hajar berkata, melihat kepada sambutan luar biasa ini, pihanya percaya acara seperti ini harus diadakan dengan lebih kerap.

“Selaras dengan misi ‘pusat beli-belah mesra komuniti’, kami mahu memenuhi keperluan penduduk Bangi, khususnya acara pendidikan dan keluarga di premis kami,” ujarnya. 

Selain menyertai bengkel dan pertandingan robotik, peserta dan pengunjung juga dapat melihat pameran oleh D’Virtual Park, MyTutor, Petrosains, Pickiddo dan Mika. - Getaran, 28 Julai 2022