
PUTRAJAYA - Semua sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Putrajaya ditutup esok susulan situasi jerebu semasa.
Penutupan turut melibatkan sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Petaling Perdana, Kuala Langat dan Sepang di Selangor serta sekolah di PPD Kuantan dan Rompin, Pahang.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata sekolah di Kuala Lumpur, Labuan, Kedah, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Sabah dan Sarawak beroperasi seperti biasa.
"Begitu juga sekolah di daerah lain di Selangor dan Pahang yang tidak terlibat dengan penutupan.
“Bagi sekolah yang beroperasi seperti biasa, pihak sekolah diminta memastikan aktiviti luar dipantau mengikut keadaan kualiti udara semasa," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Susulan itu, ibu bapa, murid dan warga sekolah dinasihatkan supaya memakai pelitup muka yang bersesuaian apabila berada di luar khususnya di kawasan yang terjejas akibat jerebu.
Semua pihak diminta mengikuti makluman rasmi daripada pihak sekolah, PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Sebanyak 23 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 10 pagi ini, dengan Kota Tinggi, Johor merekodkan bacaan tertinggi 170. - 12 Oktober, 2026
The post Sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Putrajaya ditutup esok: Fadhlina appeared first on Scoop.


