
MEMBAKUT: Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman berkata sekolah bukan sekadar institusi pendidikan, tetapi juga medan untuk membentuk insan yang berakhlak, berdaya saing dan bersedia untuk memimpin ummah.
“Kita merasa bangga kerana Sekolah Rendah Integrasi Khalia Khan ini merupakan Sekolah kelima di Sabah dan menjadi Sekolah ke-230 di Malaysia yang menerima status Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
“Kewujudan sekolah ini membuktikan kesungguhan pihak berkuasa dalam membantu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu duniawi tetapi juga kuat pegangan agamanya,” ujarnya.
Musa turut mengingatkan peranan guru dalam mendidik pelajar dengan penuh keikhlasan dan kesabaran bagi memastikan generasi muda berdaya saing dan berakhlak mulia.
“Pelajar harus menanam tekad bahawa ilmu yang diperolehi bukan hanya untuk kejayaan dunia, tetapi juga sebagai bekalan menuju akhirat,” katanya.
Pada majlis itu, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Herwan Harun menerima RM70,000 daripada Muis untuk Pengurusan Sekolah Rendah Integrasi (SRI) 2025, yang disampaikan oleh Musa. Selain itu, sumbangan Pengurusan Rumah Anak Yatim dan Tahfiz 2025 bernilai RM240,00 turut diserahkan kepada Pengasas Rumah Anak Yatim dan Tahfiz Darul Yatama Yacob Khan, Datuk Gullam Hassan Yacob Khan.
Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Kimanis Datuk Mohammad Alamin, Mufti Kerajaan Negeri Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin serta Timbalan Yang Dipertua MUIS Datuk Malai Ali Malai Ahmad.
Sekolah Rendah Integrasi Haji Khalia Khan yang memulakan operasinya pada 2017, secara rasmi berdaftar sebagai SABK di bawah Kementerian Pendidikan pada 4 November 2024.
Dengan status sebagai SABK, sekolah diharap akan terus berkembang menjadi pusat pendidikan yang mampu melahirkan insan berilmu, beriman, dan berakhlak mulia, selari dengan falsafah pendidikan Islam yang menyeluruh.
