Sekolah model khas mampu tangani keciciran murid Orang Asli

26 Aug 2022 • 4:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mah Hang Soon - Foto Bernama

TANJUNG MALIM - Pelaksanaan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 Tahun (K9) dilihat mampu menangani masalah keciciran pelajar dalam kalangan Orang Asli.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, kerajaan sentiasa menitikberatkan pendidikan masyarakat Orang Asli melalui pelbagai inisiatif yang dilakukan termasuklah pelaksanaan K9.

"Pada saya kita tidak perlu membina asrama baharu untuk pelaksanaan K9. Pada peringkat permulaan, kita boleh menggunakan bilik darjah atau bangunan sedia ada dan menyediakan guru dan peralatan yang lengkap

"Jadi, saya melihat pelaksanaan K9 ini adalah cara yang paling berkesan untuk mengurangkan masalah keciciran murid Orang Asli," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sebuah televisyen pintar untuk 'Smart Classroom Solution' yang disumbangkan oleh Sharp Malaysia di Sekolah Kebangsaan Jernang di sini hari ini.

Hang Soon berkata, menerusi model K9, murid Orang Asli perlu menghabiskan masa sembilan tahun di sekolah sama bagi mengikuti pembelajaran bermula tahun satu hingga tingkatan tiga dengan asrama harian disediakan bagi mereka yang tinggal jauh dari sekolah. - Bernama