Sekolah Perlu Kekal Tempat Yang Selamat, Selesa - PM

LocalPolitics
17 Feb 2025 • 2:46 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perdana Menteri menyantuni beberapa pelajar dalam lawatan hari ini - Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Sekolah perlu mengekalkan peranan sebagai tempat yang selamat, selesa, dan penuh harapan kerana pendidikan adalah pintu kejayaan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, di sebalik setiap harapan, ada tanggungjawab yang perlu dipenuhi sebagai pemimpin, guru dan ibu bapa.

Menurut beliau, amanah berkenaan perlu digenggam dan dipikul bersama demi kejayaan anak bangsa. 

“Pagi tadi saya kembali ke bilik darjah tetapi bukan sebagai guru, tetapi sebagai seorang pemimpin yang mahukan persekitaran dan keadaan sekolah yang baik dan selesa buat anak-anak bangsa selain mendengar suara dan keluhan guru, ibu bapa, termasuk para pelajar,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

image is not available
Gambar PMO

Perdana Menteri berkata, beliau berkesempatan meninjau sendiri keadaan di Sekolah Kebangsaan Kg Baru pada lawatan itu.

“Saya meninjau sendiri keadaan dan suasana hari pertama persekolahan dan dedikasi serta kecekalan para pendidik yang bersungguh-sungguh membentuk masa depan bangsa dan negara. 

“Dalam kunjungan mengejut dan singkat tersebut, saya luangkan masa mendengar kerana perihal pendidikan bukan sekadar buku teks dan peperiksaan, tetapi soal membina impian, menerjah peluang, dan mencorak harapan,” katanya.

Anwar menarik perhatian, beliau sempat menghimbau saat berdiri di hadapan mahasiswa di Georgetown University, Washington DC satu ketika dahulu.

“Betapa besarnya peranan seorang guru dan pendidik dalam membimbing bukan sahaja dengan ilmu, tetapi dengan kasih sayang, sikap ihsan yang terdalam, contoh teladan dan hikmah. 

“Sudah tentu sekolah dan universiti adalah dua persekitaran yang berbeda, namun semangat mencurah bakti adalah yang sama,” katanya. 

Menerusi hantaran sama, Perdana Menteri turut menitipkan ucapan buat semua murid yang memulakan hari pertama persekolahan, hari ini. 

“Kepada anak-anak yang memulakan hari pertama persekolahan hari ini, selamat kembali menimba ilmu,” katanya. - Getaran, 17 Februari 2025