
SANDAKAN: Kementerian Pendidikan berikrar untuk menangani sepenuhnya isu berkaitan banjir dan memastikan sekolah-sekolah terjejas akibat banjir di negeri ini mendapat perhatian sewajarnya.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata kementeriannya kini sedang menilai kos serta langkah-langkah yang diperlukan untuk mengatasi cabaran tersebut.
“Kami sudah memperuntukkan dana bagi membaiki sekolah-sekolah yang terjejas akibat kejadian banjir sebelum ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kolej Vokasional Sandakan 2 di Hab Pendidikan Sandakan pada Sabtu.
“Ini adalah bagi mengutamakan keselesaan dan keselamatan pelajar,” tambahnya.
Fadhlina berkata kementeriannya sedang mempertimbangkan pelbagai aspek bantuan untuk mengurangkan masalah banjir berulang.
Pada Sabtu, beliau turut menyertai Program Ziarah Madani dengan mengunjungi rumah seorang guru di Sandakan.
Sepanjang lawatan kerja dua hari ke Sandakan, Fadhlina turut bersama pelajar untuk berbuka puasa, menunaikan solat tarawih serta bersahur sebagai sebahagian daripada inisiatif Ramadan kementerian bersama pelajar sekolah.


