
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini tular di media sosial dakwaan tentang sijil kecemerlangan dan wang bernilai RM250 milik seorang pelajar yang mendapat keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan sementara oleh pihak sekolahnya.
Sijil dan wang tersebut didakwa ditahan sementara kerana isu yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang dipercayai tertunggak.
Menerusi semakan kami, hantaran terbabit sudah ‘lesap dari radar’ dipercayai telah dipadam.
Isu itu kemudiannya menjadi tular dan turut mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyifatkan tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan.
“Tidak perlulah sampai duit dan sijil kecemerlangan ditahan kerana tunggakan yuran PIBG. Hidup ini kena ada nilai ihsan dan kemunasabahan pertimbang akal (common sense), barulah semua hidup dalam berkat dan sejahtera,” ujarnya.
JPNS tegaskan pihak sekolah tak dibenarkan tahan sijil atau dokumen rasmi pelajar
Terbaharu Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) menegaskan bahawa pihak sekolah tidak dibolehkan menahan sebarang sijil mahupun dokumen rasmi milik pelajar di atas alasan kegagalan memberikan sumbangan PIBG.
Jelas pengarahnya, Khalida Omar sumbangan PIBG adalah sukarela selain ia juga tidak boleh dijadikan sebagai syarat dalam sebarang urusan membabitkan pelajar.
“Pihak kami mengambil maklum berhubung kandungan tular di platform TikTok berkaitan dakwaan penahanan sijil seorang pelajar.
“JPNS memandang serius perkara ini dan telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan menyeluruh,” ujarnya, lapor Kosmo.
