KUALA LUMPUR - Guru yang didakwa terbabit melakukan hubungan seks dengan pelajarnya yang berusia 12 tahun di Johor, sudah ditahan pihak berkuasa.
Mengesahkan perkara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, mangsa buat masa ini diletakkan di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurut beliau, Kementerian Pendidikan akan meneruskan siasatan dalaman meskipun kes terbabit telah diambil alih Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Masyarakat diseru agar terus tampil ke hadapan untuk melaporkan kes terkait dakwaan kesalahan seksual kepada pihak berkuasa.
“Pihak berkuasa mesti mengambil tindakan segera menyiasat apabila aduan melibatkan mangsa kanak-kanak,” katanya.

Tegas Fadhlina, perkara seumpama itu memerlukan penglibatan menyeluruh semua lapisan masyarakat.
“Ambil tanggungjawab bersama sebagai ahli masyarakat untuk terus mengingatkan tanggungjawab semua pihak untuk terus melindungi kanak-kanak,” katanya.
Terdahulu, guru lelaki terlibat ditahan susulan hantaran di media sosial yang memperincikan dakwaan penderaan seksual terhadap seorang pelajar perempuan di daerah Seri Alam, Johor.
Insiden berkenaan dipercayai bermula sejak September tahun lalu, melibatkan seorang pelajar perempuan berketurunan Iban berusia 12 tahun dan gurunya.
Ia terbongkar apabila murid tersebut didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan seorang pelajar lain, yang mendorong siasatan oleh pihak sekolah.
Siasatan itu akhirnya membawa kepada pengakuan kanak-kanak berkenaan, yang mengaku telah melakukan hubungan seks dengan guru terbabit.
Susulan kejadian, ibu mangsa yang berusia 37 tahun telah membuat laporan polis dan Pemangku Ketua Polis Johor, Timbalan Pesuruhjaya Hoo Chuan Huat, mengesahkan tindakan telah diambil.
“Pengadu memaklumkan kepada polis bahawa kejadian itu dipercayai berlaku sekitar tahun 2025 di kawasan Seri Alam. Bertindak atas maklumat yang diterima, satu pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam telah menahan seorang suspek.
“Lelaki itu ditahan kira-kira jam 10.30 malam tadi untuk membantu siasatan,” katanya.
Saringan dadah awal yang dijalankan ke atas suspek berusia 28 tahun itu didapati negatif manakala pemeriksaan latar belakang mendedahkan dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak.
“Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” katanya. - Getaran, 22 Mei 2026






