Sektor automotif raih manfaat besar daripada semakan gaji penjawat awam mulai Dis 2024 - AmInvestment

LocalBusiness & Finance
13 Aug 2024 • 2:38 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sektor automotif raih manfaat besar daripada semakan gaji penjawat awam mulai Dis 2024 - AmInvestment

herman

13/08/2024 - 14:38

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Pelarasan gaji penjawat awam berkuat kuasa Disember 2024 membabitkan peruntukan RM10 bilion setahun dijangka memberi manfaat besar kepada sektor automotif, dengan 1.5 juta penjawat awam akan mempunyai kuasa beli lebih tinggi yang meningkatkan kelayakan untuk pinjaman.

Menurut AmInvestment Bank Research, berdasarkan aritmetik mudah RM10 bilion setahun dibahagikan 1.5 juta penjawat awam, kenaikan purata bersamaan RM6,666 seorang yang merupakan lonjakan besar dalam pendapatan boleh guna dan akan memberi kesan positif kepada sektor pengguna.

"Kami melaporkan pada 31 Julai lalu buku pinjaman kereta Malaysia sedang tertekan, dengan pemberi pinjaman menjadi lebih ketat dalam penilaian pinjaman kereta baru.

"Namun, dengan gaji yang lebih tinggi, nisbah hutang yang lebih baik akan diperoleh dan pemberi pinjaman kereta dijangka meluluskan pemohon pinjaman baru dengan lebih mudah," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, AmInvestment berkata, berdasarkan pemerhatian, model kereta popular dalam kalangan penjawat awam adalah Perodua dan Proton.

Oleh itu, katanya, MBM Resources yang memiliki 20% kepentingan dalam Perodua, Sime Darby (memiliki 38% Perodua) dan DRB HICOM (memiliki 50% Proton) dijangka menjadi penerima manfaat utama.

Menurut firma penyelidikan itu, sebagai perbandingan, RM6,666 mencukupi untuk membayar ansuran tahunan pinjaman 9 tahun untuk model Perodua Axia, Perodua Bezza, Proton Saga, dan Proton Iriz.

"Kami menaikkan ramalan jualan keseluruhan industry (TIV) 2024 kepada 750,000, daripada 740,000 sebelum ini. Kami percaya Perodua dan Proton akan menikmati permintaan yang lebih tinggi kerana ini adalah jenama paling popular dalam kalangan penjawat awam.

"Jenama lain tidak dijangka melihat peningkatan yang bermakna. TIV yang disemak semula ini menunjukkan penurunan YoY sebanyak 6% daripada tahun 2023 yang luar biasa. Kami mengekalkan ramalan TIV 2025 kami sementara menunggu semakan terbaru Persatuan Automobil Malaysia (MAA)," jelasnya.

AmInvestment mengekalkan saranan 'Neutral' terhadap sektor ini dengan kecenderungan menaik setelah dua perkembangan terbaharu mengurangkan kebimbangan terdahulu.

Pertama, katanya, semakan gaji penjawat awam yang akan datang dan kedua, pemeriksaan dengan sumber industri mendapati kuantiti cat lebih rendah yang dipesan oleh pengeluar kereta tempatan pada bulan Julai hanyalah penyesuaian inventori dan bukan tanda kelemahan permintaan.

"Kami telah menaikkan ramalan TIV 2024 kami dan menilai semula nilai wajar MBM Resources berdasarkan perkembangan positif ini.

"Kami menaikkan ramalan pendapatan kami sebanyak 3.0%/5.2%/3.7% berdasarkan jangkaan bahawa semakan gaji penjawat awam akan meningkatkan jualan kereta, terutamanya dalam segmen kereta mampu milik, iaitu model Perodua Axia dan Bezza.

"Nilai wajar baru kami adalah RM5.47/seunit (daripada RM4.63/seunit)," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, AmInvestment berkata, cara paling mudah dan cepat untuk kerajaan menampung kenaikan gaji RM10 bilion adalah dengan menaikkan harga petrol RON95.

"Pada tahun 2013, kira-kira 1.5 tahun selepas semakan gaji penjawat awam yang terakhir, kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak empat kali.

"Berdasarkan pengiraan kami, kerajaan perlu menaikkan harga RON95 sekurang-kurangnya 72 sen hingga 80 sen seliter (pada harga minyak mentah semasa dan kadar pertukaran AS$/MYR) untuk mengimbangi sepenuhnya perbelanjaan gaji tambahan RM10 billion," katanya. - DagangNews.com