Sektor kewangan perlu kekal sebagai tunjang transformasi Malaysia - Amir Hamzah

LocalBusiness & Finance
5 Aug 2025 • 3:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sektor kewangan perlu kekal sebagai tunjang transformasi Malaysia - Amir Hamzah

image is not available

05/08/2025 - 15:46

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Sektor kewangan Malaysia perlu kekal sebagai tunjang transformasi apabila negara melangkah ke fasa seterusnya dalam agenda pembangunan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, sektor itu perlu terus bersifat adaptif, berdaya saing dan inklusif, sambil mengekalkan kepercayaan, integriti dan daya tahan sebagai asas utamanya.

Katanya, sektor kewangan Malaysia mencapai kemajuan yang membanggakan sepanjang dekad lalu dan telah mengukuhkan asasnya, meluaskan akses, serta menerima transformasi digital melalui Pelan Induk Sektor Kewangan 2022–2026.

“Sektor ini kini menyumbang dengan signifikan bukan sahaja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi juga kepada hasil pembangunan negara — daripada pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana serta kepimpinan dalam kewangan Islam, hinggalah kepada pembayaran digital dan mekanisme perlindungan sosial. Namun, kemajuan ini mesti diteruskan.

“Di bawah RMK13, sektor kewangan dikenal pasti dan diiktiraf sebagai satu daripada tujuh belas sektor strategik yang berpotensi tinggi, bernilai tinggi dan berimpak tinggi yang akan menyokong kepelbagaian ekonomi yang lebih kukuh,” katanya dalam ucapan khas sempena Minggu MyFintech 2025.

Amir Hamzah berkata, sistem kewangan mesti berkembang sebagai pemangkin kepada peralihan negara ke arah ekonomi berasaskan penciptaan nilai dengan memupuk budaya inovasi.

Beliau berkata, bagi merealisasikan aspirasi RMK13 memerlukan komitmen yang tidak berbelah bahagi, dasar-dasar yang inovatif, dan kerjasama rapat merentas semua sektor masyarakat.

“Saya menyeru institusi kewangan untuk memimpin dengan memberikan contoh terbaik. Sebagai sektor pertama yang membangunkan dan mengguna pakai Kerangka Kemahiran Masa Hadapan (Future Skills Framework), adalah penting untuk terus melabur dalam pembangunan insan – menggalakkan mobiliti rentas fungsi, pasukan yang pelbagai, dan komuniti amalan untuk membina sistem kewangan yang berdaya belajar dan adaptif,” katanya lagi.

Amir Hamzah menggariskan empat keutamaan strategik yang akan menjadi panduan ke hadapan, iaitu F-I-N-D yang mewakili ‘Foster’ (Memupuk), ‘Invest’ (Melabur), ‘Nurture’ (Membina), dan ‘Democratise’ (Mendemokrasikan).

Beliau berkata, Malaysia mesti terus memperluaskan rumusan yang menggabungkan inovasi digital dengan penglibatan komuniti, khususnya untuk pekerja sektor tidak formal, peserta ekonomi gig, dan perusahaan mikro.

“Literasi kewangan juga perlu diberi keutamaan, khususnya dalam kalangan belia, wanita, dan komuniti luar bandar. Usaha-usaha ini penting untuk memperkukuh jaringan keselamatan sosial kita dan membina daya tahan kewangan yang berkekalan,” katanya.

Bertemakan ‘Ideate, Innovate, Co-create: Shaping the Future of Finance’, edisi ketiga MyFintech Week 2025 telah dianjurkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Institut Perbankan Bertauliah Asia (Asian Institute of Chartered Bankers), Persatuan Fintech Malaysia, dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), yang berlangsung dari 4 hingga 7 Ogos. - BERNAMA

standard