Sektor Pelancongan Malaysia Kekal Berdaya Tahan Meskipun Berdepan Konflik Timur Tengah, Catat Pertumbuhan Positif Merentasi Pasaran ASEAN & Asia

LocalTravel
1 Apr 2026 • 10:18 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Sektor pelancongan Malaysia terus mempamerkan daya tahan yang teguh di sebalik ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah.

Aliran ketibaan pelancong antarabangsa kekal mencatatkan pertumbuhan positif yang merentasi pelbagai pasaran utama.

Bagi tempoh 1 hingga 26 Mac 2026, Malaysia merekodkan sebanyak 2,835,724 ketibaan pelancong antarabangsa.

Angka ini mencerminkan peningkatan sebanyak 2.4% berbanding 2,769,305 ketibaan bagi tempoh yang sama pada tahun 2025.

Prestasi Mengikut Wilayah Kekal Memberangsangkan

Prestasi sektor pelancongan negara terus disokong oleh pertumbuhan dalam pasaran serantau dan antarabangsa:

ASEAN kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 2,093,096 ketibaan (peningkatan 0.6%);

Asia Timur mencatatkan 407,171 ketibaan (peningkatan 12.8%), dengan China meningkat sebanyak 22.7%;

Asia Tengah berkembang 21% (6,569 ketibaan);

Oceania meningkat sebanyak 20.2% (33,127 ketibaan); dan

Eropah turut mencatatkan peningkatan 5.2% (124,824 ketibaan)

Walau bagaimanapun, ketibaan pelancong dari Timur Tengah menurun sebanyak 40.3% (4,398 ketibaan) susulan ketegangan geopolitik semasa. Selain itu, pasaran Afrika dan Asia Selatan masing- masing mencatatkan penurunan sebanyak 7.5% dan 0.4%.

Data ini membuktikan bahawa meskipun pasaran tertentu terkesan, sektor pelancongan Malaysia tetap disokong oleh pertumbuhan teguh di rantau utama, terutamanya Asia dan ASEAN.

Strategi Peralihan Kepada Pasaran Pertumbuhan Tinggi

Sebagai respon kepada perkembangan semasa, Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan memperkukuh strategi dengan memberi tumpuan kepada pasaran berprestasi tinggi dan stabil.

Antara fokus utama termasuk:

• Pasaran keutamaan: China, Indonesia, Thailand, Jepun, Republik Korea, India, Bangladesh dan Vietnam;

• Pasaran jarak jauh: Kazakhstan, Rusia, Perancis, Jerman dan Australia bagi memastikan kepelbagaian pasaran; dan

• Pemantauan berasaskan data: Tourism Malaysia akan menyediakan laporan harian ketibaan pelancong dan trend pasaran bagi menyokong keputusan strategik secara masa nyata.

Kementerian kini sedang memantau rapi aliran tambang udara, kekerapan penerbangan, serta tahap ketersambungan udara secara menyeluruh.

Tourism Malaysia juga telah diamanahkan untuk mengemukakan laporan harian mengenai ketibaan antarabangsa dan dinamika pasaran bagi menjamin setiap keputusan berpaksikan data yang tepat pada masanya.

Serentak dengan itu, seluruh pegawai Tourism Malaysia, termasuk di pejabat luar negara, diarahkan untuk menyalurkan maklumat terkini secara 'real-time', cerapan pasaran, serta syor strategik yang berterusan.

Pendekatan bersepadu ini akan memperkasakan Malaysia untuk bertindak tangkas terhadap perubahan global, sekali gus memastikan ekonomi pelancongan negara kekal stabil dan mampan.

Penekanan Kepada Pelancongan Premium Dan Mesra Muslim

Malaysia mengamalkan pendekatan yang lebih bersasar dan proaktif dalam strategi promosi pelancongan, dengan penekanan yang lebih kukuh terhadap segmen bernilai tinggi dan pasaran pelancongan premium.

Fokus akan diberikan kepada:

Peningkatan kualiti pengalaman pelancong;

Sumbangan ekonomi yang lebih tinggi; dan

Pengukuhan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam pelancongan mesra Muslim, termasuk memperkasa ekosistem halal dan standard hospitality.

Tiada Pembatalan Penerbangan: Ketersambungan Udara Malaysia Terus Teguh Dengan Perluasan Laluan Baharu

Sehingga kini, tiada pembatalan laluan penerbangan dilaporkan. Malah, sektor penerbangan menunjukkan keyakinan berterusan terhadap Malaysia sebagai destinasi utama melalui pembukaan dan penambahan laluan baharu, antaranya:

Laluan Baharu:

• Air Algérie;

• Aero Dili; dan

• Nok Air (Bangkok – Kuala Lumpur mulai Julai 2026)

Laluan tambahan:

AirAsia (Batam – Kuala Lumpur, Phuket – Pulau Pinang);

• Batik Air Malaysia (Banda Aceh – Kuala Lumpur, Colombo – Kuala Lumpur);

• Juneyao Airlines, Chongqing Airlines, Qingdao Airlines; dan

• Lufthansa (Frankfurt – Kuala Lumpur bermula Oktober 2026)

Perkembangan ini mencerminkan keyakinan berterusan terhadap Malaysia sebagai hab penerbangan dan pelancongan utama di rantau ini.

MOTAC Laksana Libat Urus Bersama Industri: Tangani Tekanan Kos Dan Cabaran Operasi

Malaysia kekal sebagai destinasi yang selamat, stabil, dan mesra pelancong.

Kementerian akan terus menjalin kerjasama erat dengan pemegang taruh industri bagi menangani cabaran semasa, termasuk tekanan kos seperti isu berkaitan bahan api dan diesel, melalui sesi libat urus yang menyelaras di peringkat yang bersesuaian.

Para pengamal industri amat digalakkan untuk menyalurkan data terperinci serta maklum balas, khususnya melalui perbandingan struktur kos sebelum dan selepas situasi semasa, bagi menyokong penggubalan dasar dan respons yang lebih berkesan.

Kerajaan Seru Tanggungjawab Bersama Demi Memelihara Kestabilan Ekonomi Negara

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan kekal proaktif dan kolektif dalam tindakannya. Malaysia tidak boleh membiarkan spekulasi atau agenda politik merosakkan kepercayaan pelabur dan ekonomi.

Dalam mendepani persekitaran global yang kian terhimpit oleh tekanan luaran yang luar biasa, semua pihak sewajarnya memikul tanggungjawab yang lebih besar.

Sebarang cubaan untuk mengelirukan, menyemarakkan sentimen, atau mengeksploitasi keadaan demi kepentingan sempit adalah tindakan yang sangat tidak membantu, malah berisiko menggugat usaha kolektif bagi memelihara kestabilan ekonomi.

Situasi semasa adalah berpunca daripada gangguan global luar jangka akibat konflik geopolitik, dan tidak wajar dibandingkan secara langsung dengan keadaan terdahulu.

Kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif dan tegas bagi memastikan:

Kestabilan ekonomi negara terpelihara;

Daya tahan sektor pelancongan diperkukuh; dan

Pertumbuhan berterusan dapat dikekalkan.

Baca juga: