Sektor pembuatan kekal berdepan cabaran ekoran permintaan terus berkurang – TA Securities

Business & Finance
2 Nov 2023 • 11:37 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sektor pembuatan kekal berdepan cabaran ekoran permintaan terus berkurang – TA Securities

diyana

02/11/2023 - 11:37

KUALA LUMPUR 2 Nov - Indeks pengurus pembelian (PMI) Malaysia yang tidak berubah pada 46.8 sejak Ogos 2023 menunjukkan cabaran selanjutnya bagi firma dalam sektor pembuatan berikutan permintaan terus berkurangan, kata TA Securities.

Firma penyelidikan itu berkata PMI pembuatan Malaysia, yang dilaporkan dalam S&P Global, terus mengalami tempoh penguncupan yang berpanjangan, menandakan penurunan bulan ke-15 berturut-turut.

Firma tersebut berkata sektor pembuatan di Malaysia terus merosot di bawah ambang kritikal 50 mata, menunjukkan kekurangan pertumbuhan. Sepanjang sepuluh bulan pertama 2023, purata PMI sederhana pada 47.7 berbanding 47.8 dalam tempoh sembilan bulan pertama 2023.

“Trend menurun yang berterusan dalam PMI pada permulaan suku akhir menimbulkan kebimbangan kerana ia berkemungkinan mencerminkan prestasi penunjuk ekonomi penting, termasuk keluaran perindustrian, eksport dan akhirnya keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Terdapat hubung kait bermakna antara PMI, keluaran industri, eksport dan KDNK masing-masing sebanyak 44.8%, 36.6% dan 46.1%,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma itu memetik S&P yang berkata, hubungan sejarah antara PMI dan data KDNK rasmi menunjukkan bahawa KDNK masih bersedia untuk bertambah baik secara sederhana ketika negara melangkah ke suku akhir tahun.

Bagaimanapun, TA Securities berkata melihat kepada data rasmi mengenai pengeluaran pembuatan, bacaan PMI menunjukkan tiada perkembangan pada asas tahunan.

“Berdasarkan pengiraan kami, memanfaatkan hubung kait ini sebagai asas kepada kadar pertumbuhan KDNK tersirat PMI, kami menganggarkan bahawa dengan purata PMI 47.7, KDNK berpotensi meningkat 3.5% tahun ke tahun.

“Bagaimanapun, anggaran ini bergantung pada analisis regresi mudah menggunakan satu pembolehubah,” tambahnya.

Walaupun menghadapi cabaran yang berterusan, firma itu berkata terdapat keyakinan bahawa persekitaran permintaan mungkin bertambah baik dalam tempoh 12 bulan akan datang, meningkatkan keyakinan dalam prospek pengeluaran.

Menurut TA Securities, optimisme telah mencapai paras tertinggi enam bulan, walaupun ia kekal sedikit di bawah purata.

Tambahnya, kira-kira 19% daripada responden menjangkakan pertumbuhan keluaran, manakala 8% berpegang pada pandangan yang pesimis. - DagangNews.com