Sektor pembuatan Malaysia terus berkembang, tempahan baharu meningkat pada Julai - Phillip Capital

LocalBusiness & Finance
4 Aug 2026 • 11:22 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sektor pembuatan Malaysia terus berkembang, tempahan baharu meningkat pada Julai - Phillip Capital Image from: Sektor pembuatan Malaysia terus berkembang, tempahan baharu meningkat pada Julai - Phillip Capital liza04/08/2026 - 11:22 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Sektor pembuatan Malaysia terus menunjukkan daya tahan apabila Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) kekal di paras 50.7 pada Julai 2026, menunjukkan aktiviti sektor itu masih berada dalam fasa pengembangan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

 

Menurut Phillip Capital, bacaan PMI itu tidak berubah berbanding Jun 2026 dan telah berada melepasi paras neutral 50.0 dalam lima daripada tujuh bulan pertama tahun ini yang mencatat prestasi terbaik sejak negara pulih daripada pandemik COVID-19.

 

Firma penyelidikan itu berkata, momentum tersebut didorong terutamanya oleh peningkatan tempahan baharu dan pengeluaran yang terus berkembang sepanjang bulan lalu.

 

Katanya, tempahan baharu berkembang pada kadar terpantas dalam tempoh lapan bulan hasil permintaan yang lebih kukuh, pelancaran produk baharu, kejayaan memperoleh tender serta tempahan berulang daripada pelanggan sedia ada.

 

“Peningkatan tempahan itu turut menyokong pertumbuhan pengeluaran apabila pengilang meningkatkan aktiviti pengeluaran bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin bertambah,” kata Phillip Capital dalam nota kajiannya.

 

Cabaran Kos Dan Rantaian Bekalan Masih Membelenggu

Bagaimanapun, Phillip Capital berkata, pengilang masih mengambil pendekatan berhati-hati dalam menguruskan kos apabila jumlah pekerja terus dikurangkan sebagai langkah mengawal perbelanjaan operasi.

 

Pada masa sama, stok pembelian kekal tidak berubah apabila kebanyakan pengilang berpendapat permintaan semasa masih belum cukup kukuh untuk meningkatkan aktiviti pembelian bahan mentah.

 

Laporan PMI itu turut menunjukkan pembekal terus berdepan kelewatan menghantar bekalan kepada pelanggan bagi bulan kelapan berturut-turut disebabkan peperangan, masalah logistik dan kekurangan bahan mentah.

 

Walaupun jangkaan pengeluaran masa depan masih berada dalam zon positif, tahap keyakinan pengilang susut ke paras terendah dalam tempoh tiga bulan akibat ketidaktentuan yang berpunca daripada konflik di Timur Tengah.

 

Dalam kalangan negara ASEAN, PMI pembuatan terus meningkat selepas penyusutan pada bulan sebelumnya dan kekal melebihi paras neutral 50 bagi bulan ke-13 berturut-turut, dengan kebanyakan negara anggota mencatat bacaan lebih tinggi berbanding Jun.

 

Permintaan Semikonduktor Dijangka Terus Menyokong Sektor

Phillip Capital berkata, Malaysia merupakan satu daripada negara yang mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan global terhadap semikonduktor dan produk berkaitan kecerdasan buatan dan dijangka terus menyokong pertumbuhan sektor pembuatan negara.

 

Di rantau Asia Pasifik, PMI pembuatan di kebanyakan ekonomi utama seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan China juga kekal berada dalam zon pengembangan sejak Disember 2025, didorong oleh permintaan yang kukuh terhadap produk semikonduktor dan AI.

 

Menurut firma penyelidikan itu, peningkatan permintaan tersebut turut memberi limpahan positif kepada Taiwan, manakala China walaupun mencatat bacaan PMI terendah dalam tempoh empat bulan, masih mengekalkan bacaan melebihi paras 50 bagi lapan bulan berturut-turut.

 

Phillip Capital berkata, walaupun risiko geopolitik di Timur Tengah masih tinggi, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berpandangan momentum permintaan yang dipacu AI mampu mengimbangi sebahagian risiko tersebut.

 

Namun begitu, firma penyelidikan itu mengingatkan bahawa dasar tarif baharu Amerika Syarikat berpotensi menjejaskan sentimen, khususnya dalam industri bukan elektrik dan elektronik (E&E) yang memerlukan pengilang terus berwaspada terhadap perkembangan ekonomi global. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved