hamden07/07/2026 - 09:27 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Julai - Sektor perladangan muncul sebagai peneraju prestasi Bursa Malaysia pada Jun 2026 apabila indeks sektor itu meningkat 4.2%, sekali gus mengatasi kebanyakan sektor lain dalam keadaan sentimen pasaran yang kekal berhati-hati.
CGS International (CGSI) dalam rumusan bulanan pasaran berkata, hanya lima daripada 13 indeks sektoral Bursa Malaysia mencatatkan kenaikan sepanjang bulan berkenaan.
Selain perladangan, sektor pembinaan naik 1.7% manakala sektor pengguna menokok 1.1%.
"Sebaliknya, sektor hartanah merekodkan prestasi paling lemah dengan kejatuhan 10.1%, diikuti sektor penjagaan kesihatan (-9.0%) dan pengeluaran perindustrian (-8.7%)," katanya dalam nota kajian hari ini.
CGSI berkata, daripada 30 saham konstituen FBM KLCI, sebanyak 17 kaunter ditutup lebih tinggi pada Jun.
99 Speedmart muncul sebagai saham berprestasi terbaik dengan kenaikan 7.0%, diikuti Petronas Dagangan (+6.5%) dan IOI Corporation (+5.8%).
Dalam kalangan saham yang mencatatkan penyusutan terbesar pula, Petronas Chemicals merosot 22.3%, diikuti Press Metal (-14.7%) dan CelcomDigi (-12.5%).
Sentimen Lemah Jauhkan Pelabur Asing
Sementara itu, CGSI berkata, sentimen pasaran yang lemah terus mendorong pelabur asing menjadi penjual bersih bagi bulan kedua berturut-turut dengan aliran keluar bersih berjumlah RM2.4 bilion pada Jun, walaupun lebih rendah berbanding RM3.7 bilion pada Mei.
Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing menjadi penjual bersih pada 16 daripada 19 hari dagangan sepanjang bulan tersebut berikutan sentimen yang masih terkesan selepas penstrukturan semula indeks MSCI pada Mei serta kebimbangan menjelang pilihan raya.
"Sehingga akhir Jun 2026, pelabur asing mencatatkan jualan bersih RM3.2 bilion bagi tahun semasa, menjadikan jumlah aliran keluar bersih terkumpul sejak 2024 meningkat kepada RM29.8 bilion.
"Berikutan tekanan jualan yang berterusan, pegangan pelabur asing dalam pasaran ekuiti Malaysia turut susut ke paras terendah dalam sejarah iaitu 18.3% setakat Jun 2026," katanya.
Dalam pada itu, institusi tempatan kekal menyokong pasaran dengan meneruskan pembelian bersih bagi bulan ketiga berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih RM1.9 bilion, meskipun lebih rendah berbanding RM3.1 bilion pada Mei.
Pelabur runcit tempatan juga terus menjadi pembeli bersih dengan aliran masuk RM453 juta, namun jumlah itu lebih rendah berbanding RM597 juta yang direkodkan pada bulan sebelumnya. - DagangNews.com






