
Sektor tenaga solar bakal catat pertumbuhan dibantu pengukuhan ringgit, harga panel lebih murah - RHB IB
herman
18/09/2024 - 09:45
KUALA LUMPUR 18 Sept - Pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) akan membantu pertumbuhan sektor tenaga solar disokong harga panel suria yang lebih murah, kata RHB Investment Bank.
Jelas firma penyelidikan itu, hal ini lantas membuka peluang buat syarikat berkaitan tenaga solar untuk merangka pelan pengembangan operasi selain menerokai portfolio niaga yang baharu.
"Menurut anggaran Tenaga Nasional Berhad (TNB), bekalan tenaga boleh diperbaharui (RE) tambahan mencecah 5GW akan disalurkan kepada grid elektrik di bawah pelbagai program termasuk Skim Bekalan RE Korporat (CRESS), projek Suria Berskala Besar 5 (LSS5) dan Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).
"Kami menjangkakan kegiatan akan meningkat pada tempoh 2H, dipacu oleh kontrak-kontrak EPCC CGPP yang akan datang dan pelancaran rangka kerja CRESS pada bulan September.
"Walaupun bimbang akan caj akses sistem (SAC) yang mahal dan kesannya terhadap para pembeli, CRESS dijangka melonjakkan kedudukan pasaran tenaga hijau," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, kata RHB Investment, permintaan untuk tenaga elektrik mencapai paras puncak baharu iaitu 20,066 MW pada bulan Julai 2024.
Katanya, pada taklimat penganalisis anjuran TNB awal bulan ini, pihak pengurusan menaikkan bayangan pertumbuhan permintaan tahunannya kepada 3-4% daripada 2.5-3%, atas sebab lebih banyak pusat data mula beroperasi.
"Setakat 1H24, 26 perjanjian bekalan elektrik (ESA) telah ditandatangani, lalu menyumbang jumlah maksimum permintaan tenaga sebanyak kira-kira 4GW. Daripada 16 projek yang telah siap dengan jumlah permintaan 1.6GW, beban sebanyak 190MW dilihat digunakan pada bulan Jun, sekali gus menyumbang jumlah jualan sekitar RM100j untuk TNB," jelasnya.
Firma penyelidikan itu juga mengekalkan saranan 'Wajaran Tinggi' bagi sector utiliti dengan saham pilihan Utama ialah TNB, YTL Power (YTLP) dan Samaiden.
Kata RHB Investent, saranan sektor rata-ratanya dibuat berdasarkan pembangunan pusat data (DC) yang kian rancak, yang seterusnya akan menaikkan pertumbuhan penggunaan tenaga elektrik dan grid kuasa yang terus-menerus dinaik taraf, lantas akan meningkatkan pulangan bersih kawal selia.
Turut menyumbang ialah pengeluar kuasa bebas (IPP) yang berpengalaman memenuhi kekurangan bekalan dan tambahan kapasiti RE tempatan memperkukuhkan kemasukan kerja buat para kontraktor.
"Menariknya, Malakoff percaya arang batu akan terus mendapat permintaan pasaran untuk tempoh sedekad lagi, dan operasi kilang-kilang arang batu yang ada sekarang perlu dilanjutkan dalam jangka sederhana selepas tamatnya perjanjian pembelian tenaga sekiranya penambahan kilang gas tidak mencukupi.
"Meskipun keupayaan baharu ada untuk gas, kegiatan menjana sumber ini akan memakan kos lebih tinggi kerana molekul gas baharu perlu dipasarkan ke luar negara mengikut harga pasaran.
"Kebergantungan yang tinggi pada gas import mungkin turut akan merisikokan lagi keterjaminan bekalan tenaga dalam masa panjang bergantung pada keadaan negara pengimport tersebut," ujarnya.- DagangNews.com

