Sekurang-kurangnya 149 Maut Dalam Insiden Rempuhan Di Pesta Halloween Seoul

30 Oct 2022 • 9:22 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mangsa insiden rempuhan di pesta Halloween di Iteawon, Seoul, Korea Selatan dibawa oleh petugas kesihatan untuk mendapat rawatan. - Gambar AFP

SEOUL - Sekurang-kurangnya 149 orang terbunuh  manakala 76 yang lain cedera dalam insiden rempuhan di daerah Itaewon, Seoul, melibatkan pengunjung yang menghadiri pesta Halloween, lapor Yonhap memetik pihak berkuasa bomba pada Ahad.

Insiden itu berlaku pada Sabtu malam di kawasan berhampiran Hotel Hamilton di pusat hiburan malam yang terkenal, menurut saksi.

Berpuluh-puluh ribu pengunjung melawat kawasan itu sempena pesta Halloween.

Setakat awal pagi Ahad, seramai 149 orang termasuk dua warga asing disahkan terbunuh dengan 76 yang lain cedera, 57 daripadanya parah dan jumlah korban dijangka meningkat, menurut pihak berkuasa bomba.

Kebanyakan mangsa dalam lingkungan 20-an, kata pihak berkuasa.

Pasukan penyelamat telah dikerah ke lokasi kejadian dan memberikan bantuan CPR ke atas berpuluh-puluh mangsa.

Punca sebenar kejadian masih belum diketahui. - Bernama