
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa memerintahkan sekutu kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan adik perempuannya membayar hampir AS$2.8 bilion kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berhubung peranan mereka dalam menerima dan menyembunyikan dana yang diselewengkan.
Hakim, Mahazan Mat Taib memutuskan demikian selepas membenarkan 1MDB dan empat anak syarikatnya selaku plaintif memasukkan penghakiman ingkar terhadap dua defendan, Tan Kim Loong dan Low May Lin yang gagal memasukkan kehadiran di mahkamah dan tidak memfailkan pembelaan.
Mahazan berkata, Kim Loong yang juga defendan kedua dikehendaki membayar AS$2,795,333,000 sementara May Lin (defendan keempat) sebanyak AS$809,319.
Ketika membaca keputusan, beliau berkata, plaintif telah membuktikan tuntutan terhadap kedua-dua defendan terbabit.
“Berdasarkan imbangan kebarangkalian, dengan menyatakan bahawa bukti mereka menggunakan dokumen korporat, carta aliran dana, rekod bank dan keterangan saksi, kekal tidak dicabar,” katanya.
Beliau berkata, bukti daripada bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir; pakar pemulihan aset luar pesisir yang juga pelikuidasi SRC International, Angela Barkhouse dan penyiasat penipuan kewangan di United Kingdom, Richard Templeman disokong sepenuhnya oleh dokumen.
Menurutnya, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, melaksanakan kawalan ‘de facto’ ke atas keputusan kewangan utama 1MDB.
Walaupun Jho Low tidak memegang sebarang jawatan rasmi, beliau berkata, ahli perniagaan kontroversi itu bertindak sebagai proksi dan pengarah bayangan Najib.
Justeru itu katanya, Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan 1MDB menganggap arahan Jho Low sebagai membawa kuasa Najib.
AKAN MENYUSUL
