“Selamat Bergraduasi, Mommy Bangga”- Ibu Zayn Rayyan Sunting Gambar Bersama Dengan Arwah Anak

2 Feb 2024 • 5:12 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Pada Disember tahun lalu, negara telah digemparkan dengan kehilangan seorang kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan yang berusia enam tahun.

Namun mayat kanak-kanak itu telah dijumpai pada 6 Disember selepas operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

Menerusi hasil bedah siasat yang dilakukan terdapat kesan kecederaan di bahagian leher dan badan Zayn dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sehingga kini kes Zayn masih lagi dalam siasatan pihak polis dan suspek juga masih dijejaki.

Ibu hadiri Majlis Konvokesyen untuk ambil sijil dan anugerah arwah Zayn Rayyan

Selepas hampir dua bulan, ibu kepada Zayn, Izz Manaf sebentar tadi telah memuat naik video serta beberapa gambar menunjukkan anugerah serta sijil diterima kanak-kanak itu untuk Majlis Konvokesyen yang berlangsung semalam (1 Februari).

Menerusi hantaran dimuat naik si ibu di Facebook, dia mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Sekolah Kebangsaan Damansara Damai kerana telah menjemputnya sekeluarga untuk menerima sijil dan anugerah arwah.

Sebelum ini, Zayn telah menjalani pendidikan awalnya sebagai pelajar prasekolah di sana bagi sesi 2023/2024.

Izz Manaf dalam hantaran berkenaan turut tidak melepaskan peluang untuk mengucapkan tahniah kepada anak sulung yang sangat dirinduinya selain meluahkan rasa bangga dengan pencapaian Zayn.

“Tahniah! Selamat bergraduasi Zayn Rayyan, mommy bangga dengan setiap pencapaian abang. Tak kira besar atau kecil mana pun pencapaian abang, mommy tetap bangga,” tulisnya.

Turut sunting gambar konvokesyen bersama

Apa yang lebih menarik perhatian, si ibu turut menyunting gambarnya bersama arwah Zayn dengan memakai jubah graduasi serta berkongsi video dan hadiah diterima kanak-kanak lelaki terbabit.

“Mommy tak dapat nak bergambar bersama dengan abang macam ibu bapa lain, mommy dapat edit macam ni je,” ujarnya lagi.

image is not available

Dalam satu video yang dikongsi turut menunjukkan momen ketika ibu dan ayah kanak-kanak berkenaan naik ke atas pentas untuk mengambil sijil dan anugerah miliknya.

Di Facebook Story si ibu turut menyifatkan Zayn pasti akan menepuk tangan sambil melompat kerana gembira menerima banyak hadiah.

image is not available

Mengintai di ruangan komen, ramai yang mengucapkan tahniah kepada anak syurga itu dan ibunya.

Malah mereka juga turut mendoakan agar keluarga arwah Zayn diberikan ketenangan hati dan juga ada keadilan buatnya.

Tidak kurang juga ada yang memuji gambar yang disunting oleh ibu Zayn.

“Tahniah mommy sebab jadi mommy yang hebat. Tahniah arwah Zayn Rayyan tunggu mommy di syurga ya sayang”

image is not available

“Alhamdulillah, tahniah Zayn sayang.. cantik gambar mummy dan Zayn. Al-fatihah anak syurga”

image is not available