Selamat Pulang Ke Negeri Abadi Tun Hanif

20 Apr 2024 • 8:53 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Jenazah bekas Ketua Polis Negara,Tun Mohammed Hanif Omar di Masjid Negara untuk penghormatan terakhir. - gambar media sosial

Pemergian Ketua Polis Negara ke-empat, Tun Mohammed Hanif Omar pagi tadi sememangnya dirasai bukan saja keluarga Sang Saka Biru, malah seluruh rakyat Malaysia.

Apa tidaknya, beliau bukan saja menabur jasa baktinya kepada negara sepanjang 20 tahun menjadi Ketua Polis Negara, daripada 35 tahun tempoh perkhidmatannya, malah Allahyarham Mohammed Hanif masih terus berkongsi pengalamannya kerjayanya selepas bersara.

Beliau pernah menjadi Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Diraja Pasukan Polis, Pengerusi panel pemilihan program Angkasawan Negara, Presiden Institut Pengurusan Malaysia serta ahli Panel khas siasatan ke Aminulraashid Hamzah pada 2010.

Upacara penghormatan terakhir di Masjid Negara petang tadi bukan saja dihadiri pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM), diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain malah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam turut kelihatan menziarahi jenazah bagi penghormatan terakhir dan solat jenazah.

Biarpun Allahyarham pada mulanya dikatakan dikebumikan di Makam Pahlawan, namun atas permintaan keluarga, jenazahnya disemadikan bersebelahan pusara anaknya, Allahyarham Ahmad Jamal Omar yang meninggal dunia pada 2013, di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. – Getaran, 20 April 2024

@getaranmy

Suasana hiba dan sayu menyelubungi Makam Pahlawan di Kuala Lumpur, sebaik sahaja jenazah Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar tiba dari kediamannya di Shah Alam, Selangor. Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 2.15 pagi tadi akan dikebumikan di Makam Pahlawan selepas solat Zohor, hari ini. Terdahulu, orang ramai memberikan penghormatan terakhir sebaik sahaja jenazah Allahyarham ditempatkan di Dewan Solat Utama, Masjid Negara. - Getaran, 20 April 2024

♬ original sound - Getaran