'Selamat tinggal abang.' Muhammad Zahran derma hati, ginjal, kornea dan jantung, luahan ibu buat ramai tak mampu tahan air mata

LocalHealth & Fitness
26 Mar 2026 • 1:20 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Selamat tinggal abang.' Muhammad Zahran derma hati, ginjal, kornea dan jantung, luahan ibu buat ramai tak mampu tahan air mata

PEMERGIAN pemuda, Muhammad Zahran Mohd Zuraidi mengundang rasa pilu orang ramai apabila Allahyarham yang juga menderma organ menerima penghormatan terakhir daripada warga Hospital Selayang.

Hantaran ibunya, Suzieta Halim menerusi TikTok berkongsi momen terakhir anak sulungnya berusia 21 tahun menerima walk of honor daripada kakitangan hospital berkenaan.

"My hero, selamat tinggal abang. Penghormatan terakhir buat Abang Zahran ke bilik pembedahan untuk operation derma organ.

"Semoga hajat abang membantu orang yg memerlukan tertunai, aamiin. Ibu bangga dengan abang," kongsinya.

Di dalam kesedihan kehilangan insan tersayang, Ibu berkenaan dan ahli keluarga dilihat tenang memberikan kucupan serta pelukan terakhir buat Muhammad Zahran yang disahkan kematian mati otak sebelum ditolak masuk ke dewan pembedahan.

Image from: 'Selamat tinggal abang.' Muhammad Zahran derma hati, ginjal, kornea dan jantung, luahan ibu buat ramai tak mampu tahan air mata

Dalam masa yang sama, Suzieta turut berkongsi pemergian Muhammad Zahran amat dirasai terutama bagi adik-adik yang sangat manja dengan Allahyarham.

"Hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan adik-adik kehilangan abangnya. 

"Abang yang penyayang dan pasti ada apabila adik-adik memerlukan," kongsinya.

Difahamkan, Muhammad Zahran yang bekerja di sebuah syarikat automotif di Rawang terlibat kemalangan pada 18 Mac lalu semasa dalam perjalanan pulang ke rumah di Batang Kali melalui Bypass Rawang.

Dia yang terbabas ke tepi jalan di bawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan lanjut akibat kecederaan pada bahagian kepala.

Image from: 'Selamat tinggal abang.' Muhammad Zahran derma hati, ginjal, kornea dan jantung, luahan ibu buat ramai tak mampu tahan air mata

Warganet tidak dapat menahan air mata dan tersentuh dengan perkongsian berkenaan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat.

"Satu dalam sejuta. Ibu hebat, anak hebat."

"Honor walk. Terima kasih penderma. Semoga ditempatkan dalam kalangan yang beriman. Amin."

"Di saat si ibunya mencium, begitulah juga kasih sayang mereka sejak kecil."

"Salam takziah. Asbab berat timbangan di Mizan dan melintasi sirat sepantas kilat. Allahumma Aamiin"

"Derma organ adalah pendermaan yang paling agung dan mulia. Memberi cahaya kehidupan kepada yang memerlukan."

Sementara itu, Menteri Kesihatan,  Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi untaian di laman sosial X tersentuh dengan kebaikan  keluarga Muhammad Zahran yang meneruskan hasrat Allahyarham untuk menjadi penderma organ.

"Pagi tadi di Hospital Selayang, Allahyarham Muhammad Zahran telah dipanggil pulang ke negeri abadi. 

"Walau jasadnya tiada, beliau meninggalkan nyawa buat insan lain melalui hati, buah pinggang, kornea dan jantung yang didermakan. 

"Saya amat terharu dengan kecekalan ibu arwah. Beliau adalah simbol sebenar “Warisku, Hormati Ikrarku.” Di saat hiba menyelubungi hati, beliau memilih untuk memuliakan hasrat terakhir anaknya..

"Moga ALLAH SWT mencucuri rahmat dan keampunan ke atas roh Allahyarham serta menempatkan beliau di Jannah Firdaus yang tertinggi. Al-Fatihah," titipnya.

 

 

View Original Article