Selangor agih 26,354 baucar Jom Shopping Deepavali, peruntukan RM5.27 juta – EXCO

LocalSales & Promo
21 Oct 2026 • 1:07 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor agih 26,354 baucar Jom Shopping Deepavali, peruntukan RM5.27 juta – EXCO

SHAH ALAM, 21 OKT: Sebanyak 26,354 baucar Program Jom Shopping Perayaan Deepavali bernilai RM200 setiap satu akan diagihkan kepada penerima layak tahun ini, membabitkan peruntukan RM5.27 juta.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata program itu dilaksanakan serentak di semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) dari 17 Oktober hingga 7 November.

Menurutnya, kaedah pengagihan dikekalkan seperti tahun sebelumnya dengan baucar diserahkan kepada pejabat DUN masing-masing sebelum diagihkan kepada penerima untuk membeli barangan di pasar raya terpilih.

Image from: Selangor agih 26,354 baucar Jom Shopping Deepavali, peruntukan RM5.27 juta – EXCO
EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Jumlah peruntukan bagi Program Jom Shopping Perayaan Deepavali pada tahun ini adalah RM5,270,800, merangkumi RM4.8 juta bagi kawasan DUN serta tambahan kuota EXCO sebanyak RM470,800,” katanya kepada Media Selangor.

Baucar berkenaan bertujuan membantu keluarga berpendapatan bawah RM3,000 membeli barangan keperluan asas bagi membuat persiapan menyambut Deepavali.

Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM18.48 juta bagi Program Jom Shopping Perayaan tahun ini, meningkat RM2 juta berbanding tahun lalu. Peruntukan itu dijangka memanfaatkan 92,400 penerima bagi persiapan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali.

Kerajaan Negeri turut memperkenalkan baucar Jom Shopping Hari Pahlawan Negara bernilai RM200 seorang kepada 8,317 veteran, dengan peruntukan keseluruhan RM1.7 juta.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved