SHAH ALAM, 9 OKT: Kerajaan Negeri berhasrat menganjurkan semula program Selangor Agro Fest (SAF) pada tahun depan selepas kali terakhir dianjurkan pada 2019.
EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata festival berkenaan bakal menampilkan keistimewaan dengan tambahan pelbagai elemen termasuk pameran flora.

“Festival ini kali terakhir dianjurkan sebelum pandemik Covid-19 dan kita cadang anjurkan semula tahun depan menggantikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) yang diadakan setiap dua tahun.
“Keistimewaan penganjuran kali ini kita masukkan pameran flora kepada pengunjung sekali gus menyediakan ruang kepada usahawan tani perkenalkan produk mereka,” katanya.
SAF menjadi antara acara tahunan sejak 2012 dengan matlamat memperkasa dan membangunkan sektor pertanian selain meningkatkan pendapatan usahawan tani di negeri ini.

Selain pameran penternakan, perikanan, pertanian dan industri asas tani, karnival itu turut menganjurkan perlbagai aktiviti termasuklah jualan jimat rakyat, pertandingan masakan juadah kampung, jualan makanan istimewa daerah.
Selain jualan kendera saji dan acara kanak-kanak, pengunjung juga disajikan dengan persembahan artis tanah air.
The post Selangor Agro Fest kembali tahun depan, tampil pelbagai acara menarik appeared first on Selangorkini.

